SETELAH lebih 24 tahun berada dalam industri radio tanah air, penyampai radio Suria FM, DJ Lin sekali lagi dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia pada anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini.

DJ Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta itu meluahkan rasa syukur dan menganggap pengiktirafan serta anugerah yang dimenanginya buat kali ketiga berturut-turut itu sebagai bukti dirinya masih relevan meskipun berdepan kedatangan muka baharu dalam industri penyiaran radio.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga.

“Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai,” katanya.

DJ Lin terharu masih diterima ramai meski berdepan dengan ramai pendatang baharu dalam industri radio.

Pemilik nama sebenar Roslinda Abd Majid yang juga Pengurus Besar Suria itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.

“Terima kasih buat pihak penganjur, majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan rakan media, para peminat dari seluruh negara.

“Tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang penyampai radio.

“Dengan pengiktirafan ini saya akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia, khususnya buat pendengar setia Suria Cinta,” katanya yang sentiasa menghargai para pendengar setia Suria FM.

Iklan

Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai yang dimenangi pada tahun ini merupakan anugerah ke-13 buat DJ Lin.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada lima negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi