"Doakan kesihatan saya, andai saya pergi, sedekahkan al-Fatihah kepada saya" - M. Daud Kilau
PENYANYI veteran, Datuk M. Daud Kilau atau nama sebenar Muhammad Daud Kilau, 82, berkata, tahap kesihatannya semakin merosot sejak 2016 kerana menghidap sakit kencing manis, sakit pinggang dan keadaan jantung tidak stabil yang menyebabkan beliau bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Mudah-mudahan saya lekas (cepat) sembuh. Kalau tak baik pun, tak apa. Kalau saya pergi (meninggal dunia), doakan selamat pergi dan sedekahkan Al-Fatihah kepada saya.“Saya sekarang duduk rumah nak bergerak pun tak lalu (tak larat). Saya banyak menghabiskan masa mencari saham akhirat terutama semasa sedang meniti sisa-sisa hidup,” katanya.
Raja gelek yang terkenal dengan lagu 'Sirih Pinang’ dan ‘Cek Mek Molek’ itu kini tinggal bersama isterinya Datin Rohani Awang Ngah, 62, dan seorang anak lelaki.
“Saya dah lama menderita kencing manis, dah berpuluh tahun pun, sekarang saya ada sakit pinggang tidak boleh berdiri lama, sembahyang pun atas bangku saja, kaki tangan kebas, jantung tidak stabil dan kurang pendengaran,” katanya dan menambah beliau kini mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk.
Penghibur terkenal itu mengakui terlalu rindu untuk mendendangkan lagu kepada orang ramai sambil bergelek dan mengenakan lebih 100 helai busana labuci yang sudah sebati dengan dirinya sejak era tahun 60-an lagi.
“Memang saya ada menerima undangan tetapi terpaksa menolaknya. InsyaAllah, jika semua sihat belaka, saya akan memenuhi undangan nanti,” katanya yang mempunyai dua orang anak dan sembilan orang cucu.
Karier nyanyian M Daud Kilau bermula selepas beliau menjuarai Bintang Radio pada 1968.
BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang