Dolla impi tempa nama di peringkat antarabangsa
SELEPAS melancarkan single debut mereka Make You Wanna pada Mac lalu, kumpulan Dolla berjaya menarik perhatian peminat industri muzik tempatan dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa.
Biarpun masih hijau dalam industri, Dolla yang dianggotai Angelina Chai atau Angel, Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo), Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) danTabitha Ariel Lam Lianne (Tabby) sudah berjaya mengumpul kumpulan peminat meraka sendiri.
Bukan itu sahaja, Dolla juga diberi peluang untuk mengetengahkan bakat mereka ke arena antarabangsa bersama beberapa penyanyi wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu Heal, sebuah projek khas kelolaan Star Music, anak syarikat konglomerat media ABS-CBN yang berpusat di Filipina.
Lagu Heal yang baharu saja dilancarkan pada September lalu merupakan projek pertama seumpamanya bertujuan menyampaikan rasa cinta dan memacu penyatuan warga rantau ini dalam menghadapi suasana tidak ketentuan dan waktu mencabar akibat pandemik Covid-19.
Bagi meluaskan lagi jangkauan muzik mereka, Dolla bakal muncul dengan single kedua mereka berjudul Impikan yang turut dilancarkan dalam versi bahasa Inggeris, Watch Me Glow. Lagu tersebut dicipta oleh komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar dan Karl Oscar.
Lirik Impikan pula ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.
Mengulas tentang lagu yang menggunakan khidmat pencipta lagu antarabangsa yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti Loona, Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon, Sabronzo berkata, mereka berempat sangat teruja diberi peluang tersebut.
“Sudah pasti kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti All Night nyanyian Girl’s Generation.
“Dengan peluang ini, ianya sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.
“Kami berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif daripada pendengar dan mengukuhkan lagi jenama dan muzik di Malaysia, malah turut menaruh impian lagu ini membuka ruang dan peluang untuk kami menempa nama di luar negara,” ujarnya.
Angel berkata, lagu ini cuba mengangkat falsafah pantang menyerah kalah dengan membawa pesanan untuk untuk sentiasa tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan.
“Lagu ini kami dedikasi khas buat peminat yang percaya dengan bakat dan kemampuan kami untuk terbang lebih jauh dalam persada seni,” katanya.
Lagu dan video muzik rasmi terbitan Universal Music Malaysia itu boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer bermula 30 Oktober.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang