Don’t Breathe 2 buat penonton tidak senang duduk

A
A
A

SELEPAS meraih kejayaan dengan kutipan pecah panggung, filem Don’t Breathe yang pernah diterbitkan pada tahun 2016 kembali dengan aksi lebih mendebarkan menerusi sekuel, Don’t Breathe 2.

Filem arahan Rodo Sayagues itu dijangka mampu mengulangi kejayaan sama apabila naskhah tersebut digerakkan dengan bijak dalam mengisi genre seram dan thriller, sekali gus menyajikan aksi di luar jangka.

Sekuel filem ini masih memfokuskan kepada watak utamanya, Norman Nordstrom (Stephen Lang) dan mengambil latar masa selepas lapan tahun kejadian dalam filem pertama.

Norman yang merupakan seorang lelaki buta dan bekas tentera hidup di sebuah kawasan terpencil kini menjadi bapa angkat kepada kanak-kanak perempuan yang ditemuinya di jalanan, bernama Phoenix.

Ketenteraman hidup Norman bagaimanapun diragut dengan kehadiran sekumpulan penceroboh yang mempunyai niat buruk terhadap anak angkatnya.

Sebagaimana judul, begitulah juga situasi yang berlaku sepanjang menonton filem ini. Don’t Breathe 2 tidak menunggu lama untuk mengajak penonton merasai debaran demi debaran sekali gus tidak senang duduk.

Malah filem yang lakon layar ditulis secara bersama oleh Fede Alvarez (pengarah filem pertama) dan Rodo Sayagues tampil dengan pelbagai kejutan menerusi babak yang sukar dijangka penonton.

Dalam masa sama, penonton juga memerlukan keberanian untuk menyaksikan aksi-aksi brutal melibatkan beberapa babak pembunuhan kejam yang dipaparkan dalam filem ini.

Mungkin sukar untuk kita bayangkan bagaimana seorang lelaki buta terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah dalam keterbatasan upayanya demi menyelamatkan seorang kanak-kanak, namun Norman berjaya melakukannya.

Pujian untuk Stephen Lang sebagai teraju utama yang turut menjadi sebahagian daripada kekuatan cerita ini menerusi persembahan lakonan mantap.

Secara keseluruhannya, Don’t Breathe 2 adalah sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton. Jangan ketinggalan menonton filem ini yang kini sudah berada di pawagam bermula 28 Oktober lalu.

Don’t Breathe 2

Pengarah: Rodo Sayagues

Pelakon: Stephen Lang, Madelyn Grace, Brendan Sexton III, Rocci Williams

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: 18

Genre: Seram/thriller/aksi

Durasi: 1 jam 40 minit

Tarikh Tayangan: 28 Oktober 2021

Edaran: Sony Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca