SELEPAS mencipta fenomena di tanah air apabila menjadi drama rantaian popular dengan jumlah tontonan tinggi pada setiap episod siarannya, Nur kini  melebarkan siarannya ke Indonesia melalui kolaborasi Sistem Televisyen Malaysia Berhad dengan MNCTV.

Melalui perjanjian tersebut, Nur musim pertama dan kedua akan disiarkan secara serentak dalam semua rangkaian platform MNC Media bermula hari pertama bulan Ramadan.

Drama kegemaran ramai, arahan pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin itu dibintangi barisan pelakon handalan seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Menurut Pengarah Program MNCTV, Endah Hari Utari, pihaknya memilih Nur kerana jalan ceritanya yang menarik.

“Kami merasakan drama bersiri Nur ini sangat menarik, menghiburkan dan merupakan sebuah hasil produksi yang hebat.

”Ini merupakan alasan utama kami memilih Nur. Drama ini akan menjadi tambahan variasi kepada kandungan sedia ada dan berbeza berbanding program-program yang biasa ditayangkan dalam MNCTV sebelum ini.

Iklan

“Kami juga yakin yang drama hebat ini akan mengimarahkan lagi suasana bulan Ramadan dalam MNCTV,” katanya.

Iklan

Nur mengisahkan dilema kisah cinta dua insan dengan latar belakang berbeza di mana sebuah cinta terlarang melibatkan seorang ustaz muda bernama Adam dengan seorang pelacur bernama Nur. Kisah cinta tragis itu yang mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat.

Drama rantaian popular itu boleh ditonton di semua rangkaian platform MNC Media (termasuk FTA), siaran TV berbayar yang boleh dilayari secara serentak di telefon bimbit, internet dan platform OTT.