SETELAH dua tahun ‘sepi’ tanpa lagu baharu, penyanyi Korea Selatan kegemaran ramai, Han Byul kembali mengubati kerinduan peminat menerusi single Bukan Milikmu.

Menurut Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han-byul, penularan Covid-19 turut memberi kesan kepada kerjayanya apabila ‘terkandas’ di negara asalnya dan tidak dapat pulang ke Malaysia.

“Lagu ini telah pun saya rakamkan pada tahun lepas, namun kerana Covid-19 yang melanda dunia telah membantutkan segala aktiviti termasuklah cabang seni dan segala perancangan terpaksa ditunda.

“Bagaimanapun saya lega, setelah segala dugaan dan cabaran, lagu Bukan Milikmu akhirnya menemui peminat di sini.

“Menariknya, saya turut menyelitkan beberapa bait lirik dalam Bahasa Korea yang disesuaikan dengan cara nyanyian ala Korea bagi menambah feel terhadap karya ini,” ujarnya.

Bukan Milikmu merupakan hasil ciptaan penyanyi dan penggubah lagu popular, Hazama, bersama komposer terkenal, Omar K, manakala Warner Music Malaysia bertindak selaku penerbit.

“Sebenarnya idea di sebalik pembikinan lagu ini tercetus ketika Hazama dan saya sedang melakukan penggambaran sebuah telemovie pada bulan Mei tahun lepas.

“Dia ada menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu, dan setelah mendengar beberapa demo, hati saya terus terpaut pada ciptaan lagu ini,” jelasnya yang baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Lecturerku Oppa untuk siaran WeTV iFlix.

Rumah kedua

Berkongsi perjalanan seninya kini, juara Big Stage 2019 itu berkata, Malaysia kini telah menjadi rumah keduanya dan kebanyakan peminatnya berada di negara ini.

Iklan
HAN BYUL
Han Byul sudah menganggap Malaysia seperti rumah kedua.

“Sedekad lalu, saya enjejakkan kaki ke salah sebuah syarikat rakaman muzik yang terkenal di Korea untuk menjadi salah satu ahli kumpulan K-pop, Led Apple.

“Namun siapa sangka, karier muzik saya diterima baik di sini. Walaupun saya mempunyai peminat di serata dunia, hati saya tetap di sini kerana sokongan peminat Malaysia (digelar Twinklers) sangat mengharukan.

Iklan

“Merekalah penyebab terbesar mengapa saya ingin mempelajari lebih banyak tentang bahasa Melayu, budaya dan segala-galanya.

“Apa yang saya lakukan adalah kerana peminat dan sudah pastinya saya mahu berikan yang terbaik buat mereka dan bukannya ala kadar, kerana setiap yang dihasillan adalah dari hati,” ujarnya yang sebelum ini tampil dengan single Luka dan Bahagia.

Lagu Bukan Milikmu boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.