PELAKON Amerika Syarikat (AS) dan bekas ahli gusti Dwayne Johnson atau dikenali sebagai ‘The Rock’ berkata, dia dan keluarganya yang disahkan positif Covid-19 kini sudah pulih.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya, Johnson berkata, mereka sekeluarga melalui detik sukar apabila disahkan positif kira-kira 2 minggu lalu.

“Saya ingin berkongsi dengan anda maklumat terkini mengenai beberapa perkara yang telah saya lalui selama beberapa minggu terakhir ini.

“Saya dan isteri, Lauren, serta dua anak perempuan kami telah disahkan positif Covid-19. Ini adalah salah satu perkara yang paling mencabar dan sukar yang terpaksa kami lalui sebagai sebuah keluarga dan juga saya secara peribadi.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami semua sudah pulih dan bebas daripada jangkitan itu serta berada dalam keadaan sihat,” ujarnya.

Tambahnya sejak Mac lalu, mereka sekeluarga mengikuti arahan untuk menjalani kuarantin di rumah, tidak menghadiri apa-apa acara atau keluar secara sengaja.

Bagaimanapun mereka mendapat jangkitan daripada tetamu yang datang bertandang di rumah.

“Sejak awal lagi, keutamaan saya ada melindungi keluarga saya dan saya percaya sesiapa sahaja begitu.

“Kami mendapat jangkitan itu daripada rakan rapat keluarga kami dan individu terbabit tidak tahu bahawa dia pembawa virus berkenaan.

“Apabila kami perlu menjalani saringan Covid-19, saya harapkan hanya saya yang positif. Tapi malangnya, kami semua telah disahkan positif,” katanya.

Aktor ini terkenal dengan peranannya dalam francais ‘The Scorpion King’ (2002), ‘Doom’ (2005), ‘Fast and Furious’ dan ‘Jumanji’ turut menasihati pengikutnya supaya sentiasa berdisiplin dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga demi melawan wabak yang melanda.

Iklan

“Sentiasa berdisiplin, tingkatkan sistem pertahanan badan, beri komitmen pada kesihatan, sentiasa pakai pelitup muka dan lindungi keluarga anda.

“Bersikap lebih tegas sebelum menjemput sesiapa datang ke rumah anda dan jaga orang di sekeliling anda,” ujarnya yang turut berkongsi simptom-simptom mereka sekeluarga sebelum disahkan positif Covid-19.

Sebelum ini, beberapa selebriti Hollywood termasuk Tom Hanks, Idris Elba dan Madonna turut dijangkiti virus Covid-19.

Iklan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan wabak Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac. Sehingga kini, lebih daripada 25.9 juta orang telah dijangkiti dengan virus itu di seluruh dunia, dengan lebih daripada 861,000 kematian, menurut Universiti Johns Hopkins.

https://www.instagram.com/tv/CEppiNRlpvs/?utm_source=ig_web_copy_link