SEJAK pandemik Covid-19 melanda Malaysia, nama figura Ustaz Ebit Lew semakin mendapat perhatian masyarakat atas usaha murninya membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Bahkan banyak pihak yang melihat pendakwah bebas dan ahli perniagaan itu lebih sesuai bergelar ahli politik.

Bagaimanapun, Ebit atau nama penuhnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 35, berkata, dia lebih berminat untuk meneruskan bantuan sebegini secara bebas tanpa terikat dengan komitmen sebagai ahli politik.

“Sejujurnya dahulu, ketika saya masih muda, saya pernah terfikir begitu (untuk membantu orang perlu sertai politik). Tetapi kini tidak lagi, politik memang bukan bidang saya.

“Saya lebih suka bergerak bebas tanpa ada ketua di atas saya. Saya ibaratkan diri saya seperti layang-layang yang terbang bebas.

“Cuma apa yang saya harapkan, rezeki saya lebih murah supaya lebih ramai yang dapat saya bantu pada masa akan datang,” ujarnya ketika menjawab soalan media menerusi sidang akhbar secara maya program Jejak Ebit Lew baru-baru ini.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang melihat beliau hanya membantu mereka yang viral di media sosial, Ebit berkata, dia menganggap doa orang tersebut sudah dimakbulkan ALLAH SWT.

“Macam ada satu kes yang kami bantu, kakak ini sudah lama berdoa untuk berjumpa dengan saya.

“Pada hari saya pergi berjumpa beliau, saya hampir tidak jadi untuk bertemu kerana ada program lain yang perlu dipenuhi.

“Tetapi orang yang memberitahu mengenai kakak ini tadi minta saya datang sekejap untuk berjumpa dan bila ke sana, saya tak sangka dia tinggal di bangunan terbiar dengan keadaan sangat daif.

“Walaupun ada yang saya bantu, terutama yang viral sebab mereka memang memerlukan. Namun masih banyak juga yang saya kecewakan kerana tidak dapat membantu dan saya sedar hal itu,” jelasnya.

Bantuan yang dihulurkan Ebit Lew tidak mengenal bangsa, agama dan jantina. (Foto : Astro)

Jejak Ebit Lew ialah sebuah program realiti berkonsepkan majalah yang memaparkan aktiviti amal kebajikan dan kisah di sebalik tabir perjalanan eksklusif Ustaz Ebit Lew, yang turut berkongsi rasa dan cerita dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Iklan

Program ini juga bakal memberi satu perspeksif baharu kepada para penonton untuk menilai musibah yang berlaku dari sudut pandang yang berbeza tanpa sebarang prejudis.

Untuk makluman, penerbitan program ini juga merupakan kesinambungan daripada program Door To Door Ebit Lew di saluran Astro Oasis.

Namun pada kali ini, fokus program diperluaskan lagi kepada misi bantuan dan kemanusiaan dan tidak sekadar ke arah misi dakwah sahaja.

Iklan

Pendekatan tersebut adalah bersesuaian dengan situasi masyarakat yang kini sedang berdepan dengan 1001 ujian akibat pandemik Covid-19.

Siri program Jejak Ebit Lew akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan dan kompilasi paparan isi hati Ebit Lew dapat ditonton melalui kapsul Jejak Xtra Ebit Lew pada setiap hari Isnin, jam 6.55 petang bermula 7 Disember.

Program Jejak Ebit Lew pula akan bersiaran sebanyak 61 episod pada setiap hari Isnin, jam 9 malam mulai 7 Disember.