BERSEMPENA kedatangan bulan Ramadan yang mulia, pelakon Anzalna berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata kedua apabila kini hamil lapan bulan.

Menerusi satu perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya hari ini, Anzalna, 34, turut mendedahkan dirinya dijangka bersalin menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

“Salam Ramadan. Alhamdulillah, bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu lagi di bulan yang mulia, bulan penuh keampunan dan rahmat daripada-NYA.

“Alhamdulillah Eidrees bakal dapat adik hari raya nanti. Another ‘Eid’ baby. Insya-ALLAH,” tulis Anzalna.

Cahaya mata sulung Anzalna dan suami, Muhamad Hanif Muhamad Zaki iaitu Eidrees juga lahir pada 1 Syawal pada tiga tahun lalu.

Iklan

Dalam hantaran sama, pelakon Memori Cinta Suraya itu juga memohon orang ramai terutama para peminat mendoakan proses kelahiran cahaya mata keduanya itu dipermudahkan.

“Mohon doa semua agar dipermudahkan urusan melahirkan nanti dan semoga kita semua terus diberikan kesihatan yang baik. Amin,” katanya.

Iklan

Anzalna dan suami mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamad Eidress yang kini berusia tiga tahun.