USAHASAMA buat julung kalinya antara Primeworks Studios, WAU Animation dan Disney+ Hotstar membuahkan hasil apabila siri animasi Ejen Ali musim 3 berjaya meraih anugerah antarabangsa iaitu Program Animasi 3D Terbaik menerusi Asian Television Awards yang ke-27 di Singapura baru-baru ini.

Ejen Ali musim 3 telah menutup tirai tahun 2022 dengan cukup istimewa kerana ia menjadi tontonan bukan sahaja peminat di dalam negara, malahan serantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pencapaian tersebut adalah sesuatu yang harus diraikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh bersama trofi yang dimenangi.

“Kami sangat teruja dengan pencapaian yang diterima oleh Ejen Ali Musim 3 ini. Sokongan daripada peminat tegar animasi ini menyuntik semangat pasukan kreatif kami untuk terus bekerja keras dan menghasilkan idea-idea yang lebih menarik.

“Terima kasih kami yang tidak terhingga kepada WAU Animation dan Disney+ Hotstar kerana memberi peluang berkolaborasi dan meluaskan platform Ejen Ali Musim 3 ini.

“Kami di Rangkaian Televisyen Media Prima juga turut bangga dengan dua lagi program kami yang telah tercalon di Asian Television Awards ke-27 iaitu My Dream My Wish bagi Drama atau Telemovie ‘Single’ Terbaik (8TV) dan Women Talk bagi Program Bual Bicara Terbaik (TV3),” ujarnya.

Iklan

Ejen Ali musim 3 telah ditayangkan di Disney+ Hotstar pada 25 Jun lalu, merupakan kesinambungan bagi Ejen Ali: The Movie.

Jalan penceritaannya lebih mendalam dimana Ejen Ali terpaksa meneruskan tugasnya di Arena MATA tanpa alat peranti IRIS.

Iklan

Tekad untuk mengikut jejak langkah ibunya sebagai juara, Ali kemudian berdepan dengan cabaran bertentangan dengan Ejen Antarabangsa yang licik dan berdaya tahan yang hebat.

Pada masa yang sama, kumpulan jahat Numeros kembali untuk menjatuhkan MATA dan bandaraya futuristik Cyberaya.