Eksperimentasi baharu buat Shalma Eliana menerusi Rambang   

A
A
A

TIADA istilah puas dalam kamus hidup penyanyi yang juga pelakon, Shalma Eliana Bruhanutheen.

Bagi Shalma Eliana, 21, dia akan cuba meneroka ruang dan pengalaman baru.

Malah sejak tiga tahun berkecimpung di arena seni dan kini melancarkan single keempat berjudul Rambang, adik kepada Shalma Ainaa ini ingin membuktikan survival dan bakat dimiliki.

Katanya, selepas single Janji Terindah, Mahukah Kamu dan Aroma, si cantik manis mesra dengan nama Yana ini enggan statik di zon selesa dan mahu menyerlahkan sisi versatilnya.

“Saya macam orang lain juga akan cuba buat benda yang kita suka. Itulah prinsip dan pegangan saya. Insya-ALLAH saya takkan buat sesuatu hanya kerana orang lain mahu atau sebab nak tular mahupun mengecap populariti sekelip mata.

“Cukup saya kongsi atau bentangkan muzik untuk halwa telinga pendengar dan peminat yang diri ini dengari dan dinikmati. Jika ia mengambil masa sekalipun untuk saya mencuri perhatian, itu tidak sesekali mengubah niat perjuangan seni ini,” katanya.

Mengenai buah tangan terbarunya bergenre balada itu, ia menjadi karya kedua dendangannya selepas lagu Aroma yang masih mengekalkan khidmat duo komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

“Tahun lalu, pertaruhan lagu Aroma menggunakan duo komposer berkenaan ternyata memikat hati saya. Jika Aroma seakan mengangkat pemerkasaan wanita, Rambang pula masih dalam acuan sama cuma membezakannya ialah cara penyampaian.

“Dalam erti kata lain, ia diserlahkan dengan ‘attitude’ saya sendiri melagukan karya itu dengan penuh keberanian. Seperti saya berani bersuara dan pilihan yang ada adalah untuk terus jadi kuat. Ia juga secara tidak langsung menjadikan saya lebih kuat dan tidak pantas mengalah dalam apa saja yang melemahkan,” jelasnya.

Merakamkan lagu itu pada 8 Mac lalu di studio komposer terbabit di Damansara, Rambang disifatkannya sebagai satu eksperimentasi baru buatnya.

“Seperti pemahaman tepat judul lagu ini seolah rambang mata atau dikaburi dengan kebaikan seseorang, Rambang boleh saya katakan bersifat dark namun ada mesej bermakna.

“Jujur tak sangka yang saya mampu mengalunkan lagu berentak balada. Lagu ini seolah olah mengeluarkan aura yang baru dalam diri saya,” ujarnya.

Tambah Eliana, Rambang turut membuka ruang  untuknya jadi lebih terbuka dan kreatif.

“Tak saya nafikan proses rakaman untuk lagu ini amat mencabar, tetapi saya berjaya menghabiskan proses rakaman dalam tempoh yang tidak lama sekitar dua jam lebih.

“Kebetulan saya sudah menghafal lagu itu sekian lama, jadi hanya menyerap emosi dan roh saja dalam menghidupkan karya berkenaan.

“Malah ada melodi tertentu dalam lagu itu juga saya tukar ikut keselesaan dan kesesuaian. Ada bahagian tertentu yang buat saya sedikit canggung, namun saya cabar diri untuk melunaskan proses rakaman sebaik mungkin,” ujarnya.

Eliana optimis buah tangan terbarunya itu akan diterima. Lebih manis, lagu berkenaan juga bakal menjadi runut bunyi drama Dia Isteriku di TV Al Hijrah.

Rambang kini sudah tersedia di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Shalma Eliana.

[embed]https://youtu.be/ItNJsvyi65w[/embed]

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca