SEMUA orang tahu Bunga Citra Lestari atau BCL merentas fasa yang cukup sukar dalam hidupnya. Sisa kesedihan kehilangan suami tersayang, Ashraf Sinclair masih terasa walau sudah hampir tiga tahun berlalu.

Pun demikian, BCL tidak mahu perasaan itu terus menghambat dirinya. Secara lahiriahnya, penyanyi jelita kelahiran Jakarta, Indonesia itu dilihat terus cekal menjaga satu-satunya permata hatinya, Noah Sinclair yang kini sudah menginjak usia 12 tahun.

BCL juga secara perlahan-lahan mengorak langkah dengan kembali bersosialiasi dengan orang di sekelilingnya.

Pada masa sama, beliau bijak mencari ruang dalam kerjaya seni. Selain mencari rezeki, barangkali dengan cara itu, empunya diri dapat mencari ruang terbaik untuk penyembuhan emosinya.

Ungkap BCL, sebenarnya tidak mudah untuk kembali bangkit daripada kesakitan yang sukar diluahkan dengan perkataan tanpa semangat yang disalurkan oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Selepas kehilangan Ashraf pada tahun 2020, selama lapan bulan saya hanya berada di rumah bersama anak dan ahli keluarga lain tanpa berhubungan langsung dengan orang luar.

“Malah, saya juga tidak menyentuh telefon bimbit selama sebulan kerana ketika itu emosi saya terganggu dengan kehilangan besar yang sememangnya tidak disangka-sangka.

“Alhamdulillah atas sokongan dan semangat yang diberikan orang-orang terdekat termasuk keluarga Asyraf sendiri, saya mula beradaptasi dengan kehilangan itu dan kembali fokus kepada tanggungjawab membesar dan membahagiakan anak saya, Noah,” ujarnya kepada SinarPlus ketika ditemui pada sidang akhbar sempena konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 27 Januari depan.

Bunga jalani kehidupan berdua dengan Noah seadanya.

Menambah bicara, wanita berusia 39 tahun itu berkata, segala apa yang dilalui, menjadikan dirinya bertambah matang dan semakin kuat melangkah hari-hari mendatang meski tanpa suami di sisi.

“Seberat apa pun badai yang datang dalam hidup seseorang, kita pasti mampu untuk bangkit kembali. Kita perlu sedar bahawa dalam hidup ini, kita tidak akan selalu berada di atas.

“Kalau sudah jatuh sekalipun, kita mesti bersyukur kerana masih diberi nafas untuk berbuat baik dan boleh mencari bahagia meskipun dengan cara yang berbeza,” katanya penuh makna tersirat.

Konsert solo

Kehadiran BCL yang baharu amat dirasai pihak media, lebih-lebih lagi kesediaannya untuk mengadakan konsert sulung, BCL Blossom Intimate Concert.

Beritahu penyanyi lagi Cinta Sejati itu, beliau amat menantikan persembahan di Kuala Lumpur kerana ia merupakan salah satu daripada impian Allahyarham suaminya yang mahu melihat beliau beraksi di Malaysia.

Iklan

“Setelah berkahwin dengan Ashraf, Malaysia sememangnya menjadi rumah kedua saya. Sejak tahun 2007 saya memang sering berulang-alik dan apa yang ada di sini adalah sebahagian daripada hidup saya.

“Jadi apabila perancangan mengadakan konsert di Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan, perasaan saya jadi bercampur-baur. Apa yang pasti, ia akan menjadi persembahan yang cukup istimewa,” katanya.

Kata BCL, beliau bakal berkongsi karya-karya terbaiknya, selain lagu yang disusun atur sarat dengan cerita tentang perjalanan kerjaya dan sisi kehidupannya yang penuh warna.

“Setelah melalui fasa sukar yang tidak pernah saya gambarkan dalam fikiran saya selama ini, saya fikir konsert ini akan menjadi satu kesempatan terbaik untuk saya berkongsi tentang apa yang saya lalui.

Iklan

“Terdapat sekitar 21 hingga 25 buah lagu termasuk karya yang dicipta khas buat Ashraf, 12 Tahun Terindah, selain lagu Wanita Terbahagia yang cukup bermakna buat saya ketika hayat arwah masih ada.

“Mungkin konsert ini akan jadi begitu emosional, tapi doakan agar saya dapat menyalurkan emosi itu dengan cara yang indah dan positif di pentas,” katanya mengakhiri perbualan.

Tiket konsert BCL Blossom Intimate dijual dengan harga bermula RM268 sehingga RM1,238. Pembelian boleh dibuat menerusi www.ticket2u.com.my.

(FOTO: ICON ENTERTAINMENT)