RATU rock negara, Ella Aminuddin meluahkan rasa kesal apabila gambarnya digunakan untuk penganjuran sebuah acara di Melaka, tanpa kebenaran.

Ujar Ella, 56, pihaknya kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penganjur festival makanan tersebut.

“Saya kesal dengan tindakan syarikat penganjur kerana mengguna imej saya untuk penganjuran sebuah karnival yang berlangsung sejak 23 Disember hingga 1 Januari 2023 di Mydin MITC Mall Ayer Keroh, Melaka tanpa kebenaran.

“Kami percaya pihak urus setia penganjuran telah melakukan promosi berterusan dengan menggunakan imej kami di atas bagi mempromosi jualan gerai dan promosi jenama majlis mereka.

“Saya menerusi pengurusan di Ben Jawi Ventures (BJV) akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang bagi mendidik penganjur agar lebih bertanggungjawab,” ulas Ella menerusi akaun Instagram miliknya.

Selain Ella, antara wajah lain yang terdapat pada poster itu adalah penyanyi Harry Khalifah dan anaknya, Chombi, di samping Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Iklan

Sementara itu, wakil syarikat penganjur menerusi ruangan komen di Instagram Ella tampil memohon maaf dan menjelaskan tindakan pihaknya meletakkan gambar Ella pada poster berkenaan.

“Saya memang nak ambil Ella dan ada berhubung dengan pengurus Ella melalui aplikasi WhatsApp untuk bayar deposit, tetapi individu berkenaan minta saya bayar penuh hari sama.

Iklan

“Apabila saya minta untuk selesaikan bakinya pada keesokannya, pengurus Ella minta untuk batalkan persembahan Ella di lokasi saya. Bukan pihak kami yang tak nak ambil, saya minat Ella sejak dari dulu sehingga sekarang dan memang teringin untuk bawa Ella membuat persembahan di majlis kami,” ujarnya yang berharap dapat meneruskan kerjasama untuk konsert yang dijangka berlangsung pada malam ini.

Bagaimanapun Ella tidak memberi sebarang maklum balas pada ruangan komen tersebut.