PERNAH melalui fasa jatuh bangun dalam kerjaya dan berdepan pelbagai cabaran untuk terus kekal relevan dalam industri, selebriti versatil, Elly Mazlein mengakui sentiasa menghargai peluang yang tersua.

Biarpun terpaksa berkejaran dengan rutin harian yang padat demi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini bersyukur bakatnya mendapat kepercayaan ramai.

Menganggap setiap tawaran kerja yang datang sebagai rezeki buat keluarga, beliau tidak kisah berkorban masa dan tenaga demi masa depan mereka bersama.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila rezeki saya dan keluarga semakin murah menerusi pelbagai tawaran kerja yang diberikan dalam bidang pengacaraan.

“Saya pernah mengalami fasa jatuh bangun dalam kerjaya. Pernah berada di bawah, di atas, jatuh di bawah semula dan mendapat peluang kedua untuk kembali membina kerjaya sebagaimana sekarang ini.

“Pengalaman itu menjadikan saya seorang yang sangat menghargai setiap peluang. Saya akan lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan membalas kepercayaan yang diberikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya kepada SinarPlus.

Bermula sebagai penyanyi dan kemudiannya beralih menjadi pelakon, Elly yang turut mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom itu tidak pernah menduga bakatnya dalam bidang pengacaraan semakin mendapat tempat.

Malah sehingga kini, bintang drama bersiri Kampung People itu mendapat kepercayaan mengendalikan pelbagai program televisyen, sekali gus menjadikan beliau antara pengacara yang cukup laris di pasaran.

“Inilah yang dikatakan rezeki. Saya bukan nak ‘caras’ pengacara sedia ada, tetapi setiap kali dapat peluang saya hanya fikir nak buat yang terbaik. Jangan buat sambil lewa kerana itu adalah ‘periuk nasi’ kita.

“Saya dulu bermula sebagai penyanyi, kemudian beralih kepada lakonan dan kini rezeki lebih kepada pengacaraan pula.

“Saya terima sahaja kerana sedar dunia sentiasa berputar dan tidak semua benda akan kekal bersama kita,” katanya yang bakal mengacarakan program Ceria Popstar Xtra bersama Nabil Ahmad di saluran Astro Ceria tidak lama lagi.

Suami memahami

Bagaimanapun dalam masa sama, beliau yang ditemui ketika majlis sidang media program tersebut baru-baru ini mengakui ada kala berasa bersalah kepada suami dan anak-anak kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa di rumah kerana terikat dengan kerja.

Menganggap diri bertuah dikurniakan seorang suami yang memahami dan bertanggungjawab, Elly berjanji untuk tidak mensia-siakan pengorbanan yang diberikan.

“Tidak dinafikan kadang-kadang saya ada terdetik rasa bersalah pada suami, anak-anak dan bapa yang tinggal bersama kerana banyak menghabiskan masa di luar disebabkan tuntutan kerja.

Iklan

“Mujur suami seorang yang sangat memahami dan sentiasa membantu menguruskan anak-anak ketika ketiadaan saya di rumah. Saya berkorban dengan cara saya, dia juga begitu dan apa yang kami lakukan ini adalah semata-mata untuk keluarga.

“Jika ada waktu yang sesuai, kami akan pergi bercuti bersama sebagaimana yang dilakukan sempena musim cuti sekolah kali ini. Saya akan rancang awal-awal dan menyusun jadual kerja dengan sebaiknya agar percutian berjalan lancar,” katanya.

ELLY bersama keluarga tercinta ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata, Puteri Sephia; 6, dan Haider Mateen yang kini berusia lapan bulan, sering dilihat sebagai seorang yang cukup terbuka dalam banyak perkara.

Pun demikian, apabila menyentuh soal anak-anak, personaliti berkenaan ternyata agak tegas.

Masih memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak-anak di media sosial, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan itu mengakui tindakan itu bersebab dan berharap agar ia dihormati.

Iklan

“Apa yang saya lakukan itu ada sebabnya. Saya perasan anak sulung saya, Sephia seperti kurang selesa dan selalu menyorok di belakang apabila ada orang nak bergambar dengan saya ketika dia ada bersama.

“Jadi saya faham situasi itu dan putuskan untuk tidak dedahkan dia di media sosial. Ini pilihan saya sebagai ibu dan saya percaya orang lain juga mempunyai hak untuk membuat pilihan masing-masing.

“Apa-apa pun, ia hanya di media sosial. Jika orang ramai terserempak saya bersama anak di luar, takkanlah saya tutup juga wajahnya kan?,” jelas Elly.

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)