MEMILIKI raut wajah tenang dengan karakter yang lemah lembut menjadikan pelakon Datin Elvina Mohamad cukup disenangi sesiapa sahaja yang mendekatinya.

Tidak hanya itu, pemilik nama sebenar Norzalina Mohamad, turut sinonim dengan watak-watak ‘putih’ atas sebab yang sama.

Biarpun begitu, wanita berusia 27 tahun itu sentiasa mahu mencari kelainan agar beliau dapat mempelbagaikan watak dan menampilkan sesuatu yang berbeza kepada penonton.

“Memang saya tidak nafikan, sering diberikan watak baik disebabkan wajah saya yang dikatakan sesuai dengan karakter sebegitu. Nama saya sinonim dengan watak wanita lembut, teraniayai dan sebagainya.

“Saya okey sahaja dengan watak tersebut kerana ia juga punya cabaran tersendiri, cuma sebagai pelakon semestinya saya tidak mahu terikat dengan watak yang sama sahaja,” katanya kepada SinarPlus.

Membuktikan kata-kata itu, beliau kini tampil dengan drama Takdir Cinta Dhia yang disiarkan di saluran Astro Prima pada setiap Isnin hingga Khamis, bermula 12 September lalu.

“Penampilan saya dalam drama terbaharu, Takdir Cinta Dhia sedikit berbeza dan penuh dengan cabaran. Walaupun bukan watak jahat, tetapi karakter saya sebagai pendendam.

“Saya juga berpeluang kerja dengan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz dan Shah Jaszle. Kami berkongsi banyak pengalaman menarik sepanjang berada di set penggambaran,” katanya.

Elvina pentingkan keserasian dalam bekerjasama terutamanya melibatkan hero gandingan.

Tambah Elvina, sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon, beliau terlebih dahulu akan merisik siapakah hero yang bakal digandingkan bersama, selain skrip dan jalan cerita.

Selebriti kelahiran Teluk Intan, Perak itu mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian demi menjaga keharmonian dan kelancaran kerja di set penggambaran.

“Bagi saya, keserasian antara hero dan heroin sangat penting, apatah lagi untuk drama yang berat dan panjang. Atas sebab itulah saya akan tanya terlebih dahulu siapakah pelakon yang akan digandingkan dengan saya dalam sesuatu naskhah.

“Jika berasakan tidak sesuai atau susah membina keserasian, saya akan menolak secara baik. Bukan bermaksud dia tidak bagus, cuma mungkin tidak sesuai dengan saya.

“Saya bukan demand atau mahu tunjuk bagus, tetapi ia lebih kepada langkah berjaga-jaga untuk diri sendiri dan mengelakkan sebarang masalah berlaku ketika bekerjasama kelak,” katanya.

Mohon Maaf

Ditanya apakah ada syarat tertentu diletakkan suami kepada beliau dalam menjayakan lakonan terutamanya melibatkan babak-babak romantik bersama rakan gandingan, Elvina pantas menafikan.

Iklan

“Suami tidak pernah meletakkan syarat kerana tahu saya sendiri faham di mana batas saya sebagai isteri.

“Dalam soal ini, saya lebih melihat kepada keperluan dan logik untuk melakukan satu-satu babak itu. Jika diminta berpegangan tangan atau membuat aksi romantik yang sememangnya ada dalam skrip, saya okey sahaja.

“Namun jika ia berlebih-lebihan dan tiada keperluan berbuat demikian, saya akan bincang semula dengan pengarah dan mencari penyelesaian terbaik,” jelasnya yang bakal kembali ke set penggambaran drama baharu menjelang Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Karl Mateen, 3, turut mengulas berkenaan kontroversi yang memalit diri beliau ketika menghadiri acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bulan lalu.

Penampilan beliau yang menyarung busana rekaan seorang pereka fesyen terkenal itu dikatakan terlalu seksi sehingga mengundang kepada kecaman warga maya.

Iklan

“Saya tidak pakai baju seperti itu setiap hari. Penampilan tersebut hanya untuk acara tertentu seperti KLFW, di mana pada ketika itu saya hadir menyokong Alia Bastaman dan memakai busana daripada koleksi terbaharu rekaannya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Mungkin orang sering melihat saya dengan karakter yang lembut dan sinonim dengan watak-watak baik atau bertudung menyebabkan mereka terkejut melihat penampilan itu.

“Salah saya sendiri juga kerana tidak semua orang atau pengikut boleh terima saya berpakaian seperti itu. Saya minta maaf jika ada yang berasa kurang selesa dengan penampilan itu,” katanya.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)