PELAKON Emma Maembong memberitahu, dia tidak mengalami sebarang simptom sebelum disahkan positif virus Covid-19.

Menurut Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, dia sendiri tidak mengetahui punca jangkitan tersebut dan membuat keputusan untuk menjalani ujian calitan selepas suaminya berasa tidak sihat dan sakit badan sehari sebelum itu.

“Ramai yang tanya soalan ini sampai Emma sendiri tak tah nak cakap macam mana. Senang cerita, kita dah jaga semua benda, jaga SOP (prosuder operasi standard), pakai face mask dan sanitizer tetapi kalau nak jadi, jadi juga.

“Saya buat swab test sebab suami saya rasa nak demam dan sakit-sakit badan tetapi saya tak ada simptom.

“Saya buat juga sebab tak mahu kalau positif, akan menyusahkan orang lain. Jadi lebih baik check awal-awal,” ujarnya menerusi Insta Story miliknya.

Emma dan suami masih menjalani sesi kuarantin di rumah, manakala anak lelaki mereka kini dijaga kakak Emma.

Tambah Emma, dia hanya menjalani proses kuarantin di rumah kerana keadaannya tidak terlalu teruk dan diklasifikasikan sebagai Covid stage 1.

“Ada juga yang pertikaikan kenapa saya tak dikuarantin di hospital. Memandangkan saya tidak demam, sakit tekak dan boleh bernafas seperti biasa, jadi dibenarkan kuarantin di rumah.

“Lagipun saya masih boleh bergerak sendiri, ambil ubat. Kita alu-alukan mereka yang lebih memerlukan untuk dikuarantin di hospital. Jangan kacau frontliner sebab ada yang lebih memerlukan bantuan mereka di hospital.

“Memandangkan suami dan pengurus saya juga positif, jadi kami jalani kuarantin bersama di rumah sahaja,” jelasnya yang hanya kehilangan deria bau dan rasa pada hari keempat disahkan positif.

Iklan
Emma turut meluahkan rasa syukur apabila anaknya dilindungi dan tidak dijangkiti virus pandemik itu.

Emma berkata, dia bersyukur apabila anak lelakinya, Shariq Gabriel, tiga bulan tidak dijangkiti virus itu dan kini berada di bawah jagaan kakaknya, Coddy dan Beby Maembong.

“Coddy tolong jagakan dan Beby jadi ibu susuan. Alhamdulillah, saya ada kakak yang boleh tolong saya.

“Walaupun doktor kata tak perlu pisahkan memandangkan baby masih menyusu badan, namun saya rasa risau dan tak selamat. Sebab itu saya minta kakak yang tolong jagakan,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan terbaharu, selebriti berusia 29 tahun itu memaklumkan dia dan suami, Muhammad Shazli Azhar perlu menjalani kuarantin lagi dua hari sebelum membuat ujian calitan kedua bagi memastikan mereka bebas daripada virus itu.

“Pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ada call beritahu pergi buat check up dengan hospital pada hari kesembilan iaitu hari ini termasuk buat ujian calitan, tetapi pihak hospital kata saya perlu tunggu ikut tarikh di surat.

“Jadi kami terpaksa tunggu dua hari lagi untuk kuarantin sebelum membuat ujian calitan kedua,” ujarnya.