MAEL Totey The Movie, filem pertama arahan pertama selebriti YouTube, Syahmi Sazli berjaya meraih RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan, sejak 22 Oktober lalu menerusi Astro First.

Ini merupakan kutipan paling tinggi di platform Astro First setakat ini, sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.

Penerbit dan juga pengarah filem tersebut, Syahmi Sazli menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penonton dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem arahannya itu.

“Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.

Sementara Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.

“Ternyata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar baharu buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baharu dan menjadi ‘game changer’ dalam industri di mana seorang YouTuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton,” katanya.

Iklan

Mael Totey The Movie mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Filem itu membariskan Syahmi Sazli sebagai teraju utama, selain selebriti YouTube Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad dan Aween Ismail. Diikuti pelakon Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan penyampai radio Gegar, Ewan.

Iklan

Filem Mael Totey The Movie boleh ditonton di pawagam rumah anda, Astro First dengan melanggan saluran 480, selain boleh distrim Astro Go atau On Demand.

 

(FOTO: Astro Shaw)