SELEPAS lama tidak muncul dengan lagu genre yang sering menjadi pilihan di awal kemunculannya sebelum ini, penyanyi bersuara lantang, Black, kembali kepada identiti muzik asalnya menerusi single terbaharu, Sabar.

Lagu berentak balada Melayu yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Black itu, baru sahaja dilancarkan semalam.

Menurut pemilik nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, 33, karya ciptaan sepenuhnya oleh dirinya itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu.

“Lagu ini seratus peratus hasil ciptaan saya. Malah sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.

“Bagaimanapun, ketika itu saya tidak yakin untuk menghasilkan lagu sendiri.

“Cuma saya ada memperdengarkan lagu itu kepada rakan penyanyi lain dan terkejut apabila mereka memberi maklum balas yang positif.

“Dari situ saya dapat sedikit keyakinan siapkan lagu sepenuhnya dan rakam untuk dijadikan single,” katanya.

Black yang pernah menjadi vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009 itu juga mengakui single Sabar adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.

“Apa yang boleh saya katakan, lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang saya nyanyikan beberapa tahun sebelum ini.

“Sebuah lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya dan kalau buat persembahan, memang feel sepenuhnya.

“Ia seperti mengembalikan zaman ketika saya baru bermula dalam industri dulu. Kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ia adalah muzik dan identiti saya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, kata Black, lagu itu dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Empat tahun lalu, lagu ini sangat ‘raw’, namun apabila sudah ada disiapkan ia sangat istimewa kerana gubahan lagu ini sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu.

“Proses rakaman dapat disiapkan dengan mudah dan cepat kerana saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” katanya.

Tambah Black, Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan yang dilalui.

Iklan

“Sewaktu menulis lagu ini, saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

“Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

“Sabar juga boleh dikaitkan dalam hubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja.

“Sesiapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing,” katanya.

Iklan

Single Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia itu dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer mulai Jumaat.

Sementara muzik video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama.

 

(FOTO: Nova Music Malaysia)