SELEPAS empat tahun menunggu, pelakon Shah Iskandar selamat menimang cahaya mata sulung, apabila isterinya, Siti Sarah Mohd Noor melahirkan seorang bayi lelaki pada 10 Oktober lalu.

Bayi comel yang lahir dengan berat 3.66 kilogram di Hospital Umra, Shah Alam itu diberi nama Yusuf Zulkarnaen.

Bagaimanapun Shah, 38, hanya berkongsi berita tersebut kepada umum pada Sabtu malam iaitu seminggu selepas dirinya bergelar bapa, sekali gus berkongsi foto pertama permata hatinya itu di laman Instagram miliknya.

“Pada 10 Oktober lalu, jam 2.02 petang, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki pertama kami di Hospital Umra, Shah Alam.

“Alhamdullilah, proses kelahiran berjalan lancar, tambahan pula semua petugas di hospital itu menjadikan perjalanan kami sangat menyenangkan.

“Saya mengambil keputusan untuk berehat dari laman sosial selama tujuh hari untuk berikan sepenuh perhatian kepada isteri dan anak saya,” ujar Shah yang kini tampil dengan drama Ryan Aralyn.

Menerusi perkongsian sama, Shah turut menzahirkan rasa terima kasih buat isterinya atas pengorbanan melahirkan cahaya mata sulung mereka berdua.

“Ucapan terima kasih tidak akan pernah cukup dengan segala pengorbanan awak lakukan dan melahirkan bayi yang sangat comel. Saya sayang awak,” katanya.

Iklan

Kata Shah, dia akan membawa anak dan isterinya pulang bertemu keluarganya di Singapura selepas keadaan pandemik Covid-19 kembali reda.

Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga di Singapura pada Januari 2016.

Iklan

 

(SUMBER & FOTO: Instagram Shah Iskandar)