Enam tahun berkenalan, Dayana Roza kini bergelar isteri usahawan

Dayana Roza - NIkah
Dayana Roza - NIkah
A
A
A

PELAKON Dayana Roza kini bergelar isteri apabila selamat melangsungkan pernikahannya dengan jejak pilihan, A'dale Adham Ayahudin, 33, yang juga merupakan seorang usahawan, awal pagi Jumaat.

Majlis penuh harmoni dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  itu berlangsung di Masjid Negara dengan dihadiri sekitar 30 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta teman rapat.

Pasangan ini dinikahkan bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim dan disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.

Pada majlis itu, A’dale menyerahkan mas kahwin dalam bentuk gelang tangan bernilai RM2000, selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan. Manakala wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua ahli keluarga.

“Alhamdulillah terpateri sudah ikatan yang sah antara kami. Sepatutnya kami nikah pada 12 Disember lalu, namun kita hanya merancang.

“Di sebalik ujian pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara, kami dapat melangsungkan yang wajib dulu dan dilangsungkan pagi ini.

"Kami cuba mempercepatkan majlis nikah ini seperti yang dirancang kerana datuk A'dale sudah tua dan sakit. Cuma datuknya tak sihat dan tak dapat tengok majlis akad nikah.

"Insya-ALLAH kalau tiada aral melintang, majlis resepsi akan diadakan pada 10 Januari depan, juga di ibu kota,” kata Dayana.

Berkongsi tentang perkenalan mereka, Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, 29, berkata, selama perkenalan, suami begitu bersungguh-sungguh untuk memilikinya.

“A'dale pernah menyuarakan hasrat melamar saya sekitar empat tahun lalu. Tetapi, saya menolak lamaran itu.

“Tak sangka, hasratnya kini menjadi kenyataan. Dia sanggup menunggu lama. Jodoh kuat antara kami.

"Sebelum ini memang kami berkawan rapat dan sering lepak bersama. A'dale juga teman gaduh dan paling suka menyakat saya. Tak sangka, jodoh depan mata, tak pernah sedar selama ini.

"Saya sukakan A'dale kerana dia pandai mengambil hati ibu sepanjang kami berkawan," katanya.

Sementara itu, A’dale pula menjelaskan, dia senang bersama Dayana yang berperwatakan lasak dan berkongsi minat yang sama dengannya iaitu menyukai laut, berlayar dan memancing.

"Arwah nenek pernah cakap nak cari calon isteri, pilih berkulit putih. Jadi, Dayana memang dalam kategori putih, cuma sekarang gelap sedikit.

"Paling penting, kami meminati hobi lasak bersama," katanya.

Pasangan ini merancang untuk berbulan madu di Pulau Langkawi dan tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak dalam masa terdekat.

Terdahulu,  Dayana dan A’dale mengikat tali pertunangan pertunangan pada 5 Ogos lalu, selepas lebib enam tahun berkenalan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca