PERJALANAN seni pasangan romantis, Syamel dan Ernie Zakri nampaknya memasuki satu lagi fasa baharu.

Selepas menghasilkan seleksi lagu duet bersama, mereka sepakat untuk menghiburkan peminat kesayangan dalam satu konsert istimewa.

Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta direncanakan berlangsung pada 23 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, ini merupakan impian kami berdua untuk mengadakan konsert bersama sejak sekian lamanya. Bagaimanapun, disebabkan pandemik, perancangan itu beberapa kali tertangguh.

“Kami bercadang untuk menamakannya Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta kerana lagu Aku Cinta menjadi titik permulaan yang menemukan kami berdua. Melalui lagu tersebut jugalah kami dikenali sebagai pasangan duet sampai sekarang,“ kata Syamel yang bakal melancarkan album sulung tidak lama lagi.

Kepada SinarPlus, Ernie pula berkata, selain merealisasikan impian mereka suami isteri untuk muncul di pentas yang gah, tujuan utama penganjuran konsert berkenaan adalah demi menghargai peminat tercinta.

“Konsert ini sememangnya adalah apresiasi teristimewa daripada Ernie dan Syamel khas buat para peminat yang menyokong kehadiran kami sejak dari awal lagi dan terus-menerus memberi sokongan serta semangat untuk terus berkarya dan berjuang dalam bidang seni,“ ujarnya.

ERNIE-SYAMEL
Tiket konsert Aku Cinta akan mula dijual pada 15 Ogos.

Meskipun tarikh konsert agak jauh lagi, mereka difahamkan sedang giat melakukan persiapan bersama pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

Bukan itu sahaja, pasangan sehati sejiwa itu turut mencedok ilmu daripada bapa saudara Ernie, Anuar Zain yang baru sahaja selesai mengadakan konsert pada 6 Ogos lalu.

“Kami memang selalu ajak Pak Ngah (panggilan untuk Anuar Zain) keluar lepak bersama bagi ‘mencuri‘ tip. Lagipun, dia sudah banyak menjayakan konsert dan sangat berpengalaman. Pak Ngah banyak beri input antaranya dalam aspek pakaian dan apa yang kami perlu bualkan. Saya siap bawa buku dan menyalin pesanan yang dia berikan.

“Selain itu, kami turut hadiri beberapa konsert rakan artis. Di samping berhibur, kami mencari inspirasi dan membuat ‘kerja rumah‘ kerana ini kali pertama berpeluang beraksi dalam persembahan berskala besar,“ ujar selebriti terkenal itu yang mengakui gemuruh setiap kali memikirkan tentang perjalanan konsert.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai harga tiket, Syamel yang mengambil posisi untuk menjawab pertanyaan tersebut berkata, mutu persembahan mereka tidak sewajarnya diukur pada harga sekeping kad kecil bercetak.

“Namun, apa-apapun, kami meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada Rocketfuel Entertainment dalam menentukan harga tiket. Kami percaya harga ditetapkan dibuat dengan teliti dan berbaloi dengan persembahan yang bakal kami berikan.

“Jika ramai mengatakan harganya murah, ia merupakan satu perkara positif. Kami berharap lebih ramai dapat hadir menonton konsert kami,“ tuturnya yang memaklumkan bakal mendendangkan 23 buah lagu.

Tiket Konsert Syamel Dan Ernie Zakri: Aku Cinta akan dijual mulai 15 Ogos ini pada harga RM500 (Diamond), RM400 (Platinum), RM300 (Gold), RM250 (Silver) dan RM200 (Bronze). Pembelian boleh dibuat menerusi ubertickets.my.

Iklan

Tanggungjawab

Di sebalik kesibukan sebagai anak seni, terlintas dalam benak penulis bagaimana agaknya Syamel mahupun Ernie mengendalikan permata sulung mereka, Nur Khawla Soleha yang kini sudah berusia lima bulan.

ERNIE-SYAMEL
Buah hati Ernie dan Syamel, Nur Khawla Soleha, lima bulan.

Bukan apa, selain kedua-duanya masih muda, Ernie juga difahamkan sudah kembali bekerja seawal dalam pantang.

Selain merakamkan lagu Hari Raya, penyanyi lagu Ku Bersuara itu turut berkolaboratif dengan kumpulan dari Indonesia, Govinda untuk lagu Hal Hebat baru-baru ini.

Tidak menafikan rezeki mencurah-curah selepas dikurniakan zuriat, Ernie berkata, mereka berdua cuba membahagikan masa sebaik mungkin. Mereka juga lega lantaran dikurniakan pembantu yang menjaga anak mereka setulus hati.

Iklan

“Tipu kalau saya kata tidak sedih setiap kali keluar bekerja. Tidak lama lagi pun saya akan ke Bandung dan Jakarta, Indonesia untuk rangka promosi Hal Hebat di sana.

“Memikirkan nak tinggalkan anak enam hari pun sudah cukup buat saya rasa sedih, kalau tengok gambar memang meleleh air mata. Khawla pun dah pandai macam-macam sekarang.

“Pada masa sama, saya rasa bersyukur kerana Syamel banyak membantu kalau dia berkelapangan. Biasanya jika saya perlu keluar bekerja, ibu saya akan datang untuk membantu menjaga Khawla juga,“ jelasnya.

Sambil tersenyum, Syamil turut mencelah. Ungkap pemilik vokal bersuara lunak itu, apabila wujud masa terluang, beliau dan isteri tidak akan melepaskan peluang bersama anak tersayang dari mula si kecil itu bangun sehingga tidur kembali.

“Sejujurnya bila memikirkan Khawla bersama pengasuhnya pun sudah buat saya tak tentu arah. Fikir dia tengah buat apa, senyuman dia, tetapi bila di rumah, kami pastikan dia sepenuhnya bersama kami. Harapnya bila dah besar, Khawla faham kerja daddy dan ibunya,“ katanya.