PENGACARA dan penulis lirik terkenal Ahmad Fedtri Yahya meluahkan rasa terkilan apabila banyak karya baharu yang dihasilkan hari ini kurang memberi perhatian pada kualiti lirik.

Menurut Fedtri, 39, sesebuah lirik yang baik itu seharusnya mempunyai penceritaan yang kuat, mesej baik dan bahasa yang mantap untuk disesuaikan dengan melodi lagu.

“Tidak semestinya menggunakan ayat bombastik tetapi lebih kepada ketepatan menyampaikan mesej, selain disesuaikan dengan konsep yang diketengahkan dalam sesebuah lagu itu.

“Lirik yang mempunyai penceritaan baik selalunya akan lebih mudah memberikan kesan pada pendengar, sekali gus menjadikan lagu itu mudah difahami dan diingati,” katanya yang sehingga kini telah menulis lebih 100 buah lirik.

Menolak anggapan sesetengah pihak yang melihat proses penulisan lirik lagu lebih mudah seperti sebuah luahan perasaan, Fedtri melihat lebih daripada itu.

“Memang semua orang boleh menulis lirik, tetapi lirik bagaimana yang dihasilkan itu yang menjadi persoalannya.

“Kita boleh lihat bagaimana penulisan lirik bagus diangkat orang ramai seperti karya Habsah Hassan, S. Amin Shahab dan lain-lain.

“Ada di antara lirik yang ditulis mereka dijadikan bahan kajian dan mendorong orang  untuk mencari maksud atau mesej yang diketengahkan.

“Bukan senang menulis lirik kerana kita bertanggungjawab dengan apa yang kita tulis itu dan ia bukan tentang luahan perasaan semata-mata,” tegasnya.

Dalam pada itu, Fedtri turut menitipkan nasihat buat penulis-penulis baharu agar mereka lebih banyak membaca.

“Kalau nak menulis dengan bagus, kena banyak membaca. Jangan malu untuk mendapat tunjuk ajar atau menghadiri bengkel kerana tak rugi untuk tambah ilmu.

Iklan

“Saya puji sikap dan usaha yang ditunjukkan oleh penyanyi dan komposer muda, Haqiem Rusli yang rajin nak belajar untuk menjadi lebih baik.

“Dia berani menghubungi dan meminta tunjuk ajar atau tip daripada saya bagaimana untuk menghasilkan lirik yang baik.

“Walaupun dia muda, tetapi dia rajin belajar dan minta pandangan orang lain. Selalunya bila dia buat lirik, dia akan kongsikan dengan saya dan minta komen. Melihat usaha dia untuk belajar, saya jadi kagum,” ujar Fedtri.

Iklan

Sepanjang aktif bidang tersebut, Fedtri pernah  menulis lirik untuk barisan penyanyi popular tanah air seperti Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim, Nora, Misha Omar, Siti Nordiana dan lain-lain.

 

(FOTO: Instagram Fedtri Yahya)