PENYANYI Naqiu mengakui cukup terkesan dengan apa yang menimpa remaja sindrom down bernama Bella yang kini hangat diperkatakan ramai apabila dipercayai menjadi mangsa dera sehingga mengalami kecederaan serius.

Menurut Naqiu, 36, sejak beberapa hari lalu, hati dan fikirannya semakin terganggu sehingga sukar melelapkan mata kerana terlalu memikirkan tentang apa yang berlaku kepada Bella.

Apatah lagi juara Gegar Vaganza musim keenam itu juga mempunyai seorang anak istimewa iatu cahaya mata keempatnya, Wan Alexander Putra yang dilahirkan dengan autisme.

“Dia autisme dan selalu tantrum sehingga tahap susah nak kawal. Mengamuk tiba-tiba, baling barang, cederakan diri sendiri dan macam-macam lagi. Namun sebagai bapa, saya tak pernah sekali pun mengeluh kerana itu semua dah tertulis.

“Alhamdulillah semua adik-beradik dia dan keluarga saya menerima Alex dengan sangat terbuka hati kerana kita tahu, dia adalah anak syurga yang memberi jaminan laluan mudah ke syurga kalau kami mampu membawa amanah menjaga dia dengan baik.

“Saya sayang Alex lebih daripada yang lain kerana dia tak sempurna. Setiap hari saya berfikir apa nasib Alex nanti bila saya tak ada nanti. Itulah yang selalu saya fikirkan.

“Dua tiga hari ini, hati dan fikiran saya makin terganggu sampai susah lelap mata sebab terlalu memikirkan tentang sorang lagi ‘anak syurga’, adik Bella yang menjadi mangsa dera teramat dasyat dan tidak terbela nasibnya,” luahnya menerusi satu perkongsian yang dilakukan di laman Instagram.

Tambah Naqiu lagi, dia terlalu sedih sehingga menangis mengenangkan penderitaan Bella, malah tidak dapat membayangkan jika anaknya sendiri yang diperlakukan seperti itu.

“Allahuakbar sampai menangis tengok semua video dan gambar adik Bella. Sakitnya ‘anak syurga’ ini didera sebegitu, dasyatnya derita yang dia tanggung.

“Saya terbayangkan kalau anak saya yang diperlakukan macam itu. Kalaulah Alex yang kena curah air panas, kena makan tahi, ayam busuk, nasi dengan cuka, kena sebat, pijak dan macam-macam lagi selama berbulan-bulan lamanya.

“Allahhhh.. Manalah pergi hati perasaan si pelaku, takkan tak sekelumit ada rasa kesian pada budak itu. Kita orang Islam, jauh mana kita tersasar pun, asas itu tetap ada. Tapi mana pergi asas si pelaku,” soalnya kesal.

Iklan

Dalam pada itu, Naqiu mengakui sebagai bapa kepada seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU), dia sangat sensitif dan beremosi apabila mengikuti perkembangan kes Bella.

“Saya sebagai ayah kepada anak OKU seperti adik Bella sangat sensitif dan beremosi apabila mengikuti perkembangan kes ini.

“Tak tahu nak cakap dan bantu macam mana. Mungkin dengan perkongsian ini dapat membuka mata pengikut saya untuk sama-sama berjuang #JusticeForBella. Itu saja saya mampu.

“Kita lawan fight habis-habisan untuk pastikan si pelaku dikenakan hukuman setimpal. Jangan ada ‘tangan ghaib’ yang menidakkan keadilan untuk adik Bella.

Iklan

“Harap satu hari nanti saya boleh jumpa adik Bella dan peluk dia kuat-kuat. Moga dia lupa mengenai semua kesengsaraan dan kesakitan yang pernah dia tanggung,” katanya.

Naqiu dan isteri, Hani mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Wan Ratna Putri, 10, Wan Daniel Iman, 9, Wan Alexander Putra, 8, Wan Esyana Alicia, 7, dan Wan Danish Aydin, 4.

(FOTO: Instagram Naqiu)