Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie terus raih pengiktirafan
FILEM indie, 'Belaban Hidup: Infeksi Zombie' sekali lagi melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia, pada Sabtu.
Bersyukur di atas kemenangan itu, penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, melahirkan perasaan bangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
"Ini adalah kemenangan semua. Terima kasih di atas pengiktirafan ini.
"Kami berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada semua penggiat filem muda lain supaya tidak berputus asa menerbitkan karya kreatif demi mengharumkan nama negara," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd itu mencipta sejarah apabila memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival Singapore 2021 pada 18 Mac lepas.
Kejayaan itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengucapkan tahniah dan menyifatkan kemenangan itu membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilkan karya seni berkualiti antarabangsa selain meneruskan kesinambungan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat global.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya dengan perkembangan semasa mengenai filem negara. Kami dengan rasa rendah diri dan gembira menganggap setiap kata-kata itu sebagai satu semangat untuk terus berkarya," katanya.
Lebih membanggakan, Ray berkata, filem berkenaan turut tercalon di Los Angeles Marina Del Rey Film Festival (LAMDRFF) bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Best Feature Film).
Belaban Hidup: Infeksi Zombie mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila yang menggabungkan elemen seram serta aksi masyarakat Dayak di Sarawak.
Filem yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.
Filem edaran Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada Ogos depan. - Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang