TERBAIK! Jika dalam siri animasi Upin & Ipin, “betul, betul, betul” menjadi slogan kata yang disebutkan, dalam siri BoBoiBoy pula, “terbaik” telah dijadikan slogan kata pilihan. Hampir setiap episod perkataan tersebut pasti ada.

Slogan itu seumpama makin ‘menjadi’ apabila francais animasi superhero Malaysia ini bakal menggegar pawagam di seluruh Turki dengan penayangan dua filem pecah panggung mereka pada penghujung tahun ini.

BoBoiBoy ialah sebuah siri animasi tempatan yang diterbitkan oleh Animonsta Studios yang mengisahkan tentang seorang adiwira lelaki, dikenali dengan panggilan BoBoiBoy.

BoBoiBoy memperoleh kuasa daripada robot (sfera kuasa) bernama Ochobot. Daripada pemberian kuasa itu, BoBoiBoy kini boleh mengawal dan berpecah kepada elemen petir, angin, tanah, api dan air.

Filem Boboiboy bakal gegar pawagam Turki. Terbaik!

Dalam satu kenyataan oleh Monsta, studio di belakang tabir BoBoiBoy, bekerjasama dengan pengedar tempatan CJ Entertainment Turkey dan Two Productions untuk membawa BoBoiBoy The Movie pada September dan disusuli BoBoiBoy Movie 2.

Iklan

“Namun, Monsta tidak berhenti sekadar di situ, kerana studio tersebut turut dalam perbincangan untuk membawa kesemua 76 episod siri animasi BoBoiBoy dan BoBoiBoy Galaxy ke kaca televisyen di Turki.

“Kesemua filem dan siri animasi tersebut turut dialih bahasa ke dalam bahasa Turki, supaya penonton dapat mendalami watak superhero kegemaran mereka dengan lebih rapat lagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Monsta, francais animasi BoBoiBoy yang semakin popular itu berjaya menembusi pasaran hiburan di lebih 70 negara seperti di Asia Tenggara, India dan MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara), dan Turki menjadi medan baharu bagi francais berkenaan mengembangkan sayap ke negara-negara berhampiran.

Iklan

Monsta komited dalam menerajui usaha pengeksportan animasi Malaysia berkualiti tinggi serta berharap dengan kedatangan BoBoiBoy di Turki, jutaan penonton baharu dapat menikmati siri animasi yang sarat dengan aksi, komedi dan hiburan untuk seisi keluarga.

Terbaik!