KURANG dari 24 jam selepas tayangan dan dilancarkan di laman YouTube rasmi pada Jumaat lalu, filem pendek terbaharu dan pertama Ejen Ali yang berjudul  Misi: Juang telah meraih lebih satu juta jumlah tontonan dan mencapai  trending nombor satu di saluran YouTube.

Filem pendek hasil gabungan Primeworks Studios dan WAU Animation berdurasi tiga minit lebih itu telah dilancarkan pada 25 Disember, tepat jam 9.45 malam menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali.

Masih mengekalkan lagu runut bunyi Kita Jaga Kita nyanyian Altimet, Malik Abdullah dan Cuurley yang diberikan nafas baharu, filem pendek Misi: Juang merupakan penghormatan khas kepada petugas barisan hadapan dan penghargaan atas usaha berani mereka memerangi pandemik Covid-19.

Misi: Juang  menampilkan usaha Ejen MATA dan rakyat yang bergabung bersama-sama petugas barisan hadapan di medan perang untuk melawan angkatan tentera Covid-19 yang mengancam nyawa.

Mengetengahkan rendisi baru lagu tema Kita Jaga Kita, filem pendek ini menjadi lebih menarik dengan penampilan khas seorang figura istimewa yang membawa watak kameo untuk bergabung tenaga dengan Ejen MATA di medan pertempuran.

Sementara itu, Ejen Ali telah merekrut 15 personaliti tempatan sebagai ejen untuk menyertai misi ‘unboxing’ Misi: Juang yang bertujuan untuk memberi kesedaran betapa pentingnya duduk di rumah ketika ini.

Iklan

Ejen Ali mengisahkan mengenai seorang budak lelaki bernama Ali yang secara tidak sengaja terlibat dengan sebuah peranti pintar, IRIS, milik agensi pengintipan, MATA. Akibat mengetahui terlalu banyak akan rahsia MATA, Ali direkrut sebagai ejen rahsia.

Iklan

 

(FOTO: Primeworks Studios)