MENERUSI kerjasama khas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersama Astro, kini penerbit filem tempatan berpeluang untuk menghantar permohonan bagi Dana Program TV/OTT, di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) agihan FINAS sebelum 30 November menerusi laman sesawang http://www.finas.gov.my/.

Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk membantu syarikat perfileman meneruskan semula penggambaran selain membayar hutang yang tertangguh setelah tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan lamanya ekoran penularan pandemik Covid-19.

10 permohonan yang berjaya akan ditayangkan di saluran Astro First dan lebih menarik ia turut menerima sokongan daripada aspek pemasaran dan promosi yang kreatif bagi membina jenama filem.

Dana Program TV/OTT mengkhususkan format supertele premium untuk siaran di saluran Astro First yang mempunyai nilai-nilai komersial dan bersesuaian dengan konsep pawagam di rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata, kerjsama itu diharapkan dapat pembantu penerbit untuk terus berkarya dan merancakan industri filem tempatan.

“Kerjasama strategik di antara Finas dan Astro ini menjana kepada strategi dan nilai tambah pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran.

“Selain itu, daripada konteks ekonomi kreatif, ini turut memberi peluang kepada penerbit menjana pendapatan melalui pemilikan hakcipta yang diberikan kepada mereka.

“Untuk jangka panjang, ini tentunya meransang kepada pengedaran serta pemasaran domestik dan global,” katanya.

Manakala Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Finas dan Astro berkongsi matlamat yang sama dalam membantu memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas akibat impak wabak pandemik Covid-19.

Iklan

“Astro berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama ini sebagai sebuah platform yang akan merealisasikan objektif program dengan mengangkat karya-karya kreatif, sekaligus menjana ekonomi industri perfileman tempatan.

“Kami menganggap ia merupakan satu contoh jalinan kerjasama untuk ‘menang bersama’ kerana membolehkan semua penggiat seni tanah air saling berganding bahu dalam terus merancakkan lagi industri dan memacu semula ekonomi dalam normal baharu.

Iklan

“Harapan kami dengan adanya kerjasama seperti ini, ia dapat membuka ruang buat pengkarya untuk mengembangkan lagi bakat mereka sekaligus mampu memberi impak besar kepada industri dan dalam tempoh yang sama melahirkan bakat-bakat baru seperti pengarah Syahmi Sazli menerusi filem Mael Totey The Movie,” katanya.

Terdahulu, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun ini, Astro telah memperkenalkan konsep pawagam terus di rumah dengan membawakan filem-filem hebat dan berkualiti untuk tontonan penonton dalam cara normal baharu.

Antara filem yang telah dibawa ialah Manap Karaoke, Syif Malam Raya, Ada Apa Dengan Dosa, Town Mall, Keluarga Iskandar The Movie, Jebat, Kelaster, Butak dan Mael Totey The Movie.