SELURUH Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pengerusi, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim berkata, beliau mewakili Ahli Perbadanan dan pengurusan yang lain melihat Zakaria dan Idham telah berjaya menerajui Finas sebagai badan yang bertangungjawab dalam memajukan industri kreatif.

“Sepanjang kepimpinan Tuan Zakaria dan Dr. Ahmad Idham, Finas telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

“Antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), penawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan beberapa program lain lagi.

“Finas juga tidak meminggirkan perihal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan pelbagai program lain seperti Finas Prihatin, pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin dan pelaksanaan Insentif Saringan Prihatin.

“Bukan itu sahaja, Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam berdepan pandemik Covid-19, dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Norman, Finas sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan sekiranya wujud perkara-perkara berbangkit dan perlulah disampaikan melalui saluran yang betul.

Iklan

“Finas juga bercadang untuk mengadakan sesi ’townhall’ secara maya bersama penggiat industri kreatif bagi membincangkan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ke arah merealisasikan agenda kita bersama dalam mengantarabangsakan industri kreatif tempatan dan memenuhi aspirasi warga industri kreatif,” katanya.

Terdahulu, satu kumpulan penggiat seni yang menggelarkan diri mereka sebagai Art Revolt telah melancarkan petisyen bagi mendesak Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas untuk meletak jawatan kerana gagal menangani permasalahan yang berlaku dalam industri.

Iklan

Petisyen yang dilancarkan di Change.org itu sejak 5 Februari lalu menyasarkan sokongan daripada 5,000 penggiat seni dan ketika artikel ini ditulis ia telah dipersetujui lebih 3,900 orang.

 

Poster Solidariti Industri Kreatif sudah mula dikongsikan beberapa penggiat seni sejak beberapa hari lalu.