PELAKON Datuk Fizz Fairuz meluangkan masa turun padang membantu orang ramai yang terkesan dengan bencana banjir di beberapa lokasi di negeri kelahirannya, Pahang, sekitar minggu lalu.

Fizz atau nama Fairuz Zainal Abidin, 42, menyertai misi kemanusiaan membantu mangsa banjir bersama badan bukan kerajaan, Ikhlas.com sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu lalu.

Berkongsi pengalamannya, Fizz berkata, dia sangat terkesan melihat keadaan mangsa banjir yang berdepan kesukaran untuk membersihkan rumah mereka, selain berdepan pelbagai kerugian akibat kerosakan harta-benda.

“Ada rumah yang kami hulurkan bantuan dan melakukan aktiviti pembersihan terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan dilihat sudah tak berdaya, namun tetap kuat mengharungi ujian berkenaan.

“Sekarang agar sukar sedikit dan membantu kerana pelaksanaan PKP yang membataskan pergerakan, termasuk nak rentas negeri pun tak boleh. Kalau sebelum PKP, ada anak mereka atau orang muda yang boleh tolong jadi sukarelawan.

“Saya tak dapat bayangkan nasib mangsa banjir terutama golongan tua nak terus berdepan kesulitan itu.

“Mereka yang boleh bantu pun sekitar jarak 10 kilometer sahaja. Sedih yang sukar digambarkan,” kata Fizz.

Fizz ketika menyertai misi bantuan mangsa banjir di Pahang.

Menurut Fizz, misi yang disertai itu sempat menghulurkan bantuan ke empat lokasi di Raub, Benta, Chenor dan Maran.

Suami kepada pelakon Almy Nadia itu juga meluahkan rasa syukur kerana banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang bermurah hati memberi sumbangan seperti barangan makanan, peralatan keperluan dan sebagainya.

Iklan

“Kawasan di Benta antara yang saya boleh katakan kronik dan teruk terkesan dek banjir melanda. Bayangkan kejadian sekitar 50 tahun lalu berlaku balik kali ini di Benta.

“Kalau sebelum ini banjir hanya dilihat menenggelamkan paras anak tangga rumah. Kejadian kali ini mengulangi insiden 50 tahun lalu apabila rumah tenggelam sampai paras bumbung.

“Ada rumah yang kami jejak biliknya yang dipenuhi pelbagai barangan keperluan dan segala macam barang, sampai nak buka pintu pun susah. Kena kopak pintu sebab barang yang awalnya ditelenggami air mula jadi tunggang langgang,” katanya.

Iklan

Fizz yang berasal dari Raub itu, turut sempat ke rumah sepupunya, yang juga merupakan mangsa banjir. Bagaimanapun rumah ibu dan saudara maranya di sekitar Batu Talam dan Ulu Dong, Raub selamat daripada dilanda banjir.

Pelakon Kampung People itu dilantik menjadi ikon kepada badan Ikhlas.com sejak dari PKP pertama, pada Mac tahun lalu dan aktif menjayakan misi kemanusiaan. Malah bersama Ikhlas.com, Fizz sudah lebih empat kali menyertai misi bantuan  banjir serta membantu golongan asnaf.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbang, boleh berbuat demikian dengan melayari di pautan www.ikhlas.com.