PELAKON Datuk Fizz Fairuz lega apabila individu yang terlibat dengan penipuan yang menyebabkan dirinya mengalami kerugian sehingga RM18,000 berjaya ditangkap.

Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin, 42, turut memuji pihak polis yang pantas bertindak.

“OK dia dah kena tangkap. Nanti saya kongsi muka dia. Padan muka, mana nak lari. Tahniah PDRM, pantas buat kerja,” tulis Fizz di Instagramnya hari ini.

Terdahulu sebelum itu, Fizz tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Rabu selepas menjadi mangsa scam seorang lelaki berpangkat Datuk Seri.

Dedah pelakon filem Munafik itu lagi, dia berurusan dengan individu terbabit yang kononnya membuka tender kontrak pembersihan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Individu ini tawarkan saya projek tender DBKL. Dia bagi senarai apa kena buat dan saya kena bayar satu peratus bon. Saya memang tak terfikir dia scammer sebab dia minta profil syarikat,” ujarnya sebagaimana dilaporkan.

Iklan

Bagaimanapun menurut Fizz, dia menyedari diri ditipu apabila individu terbabit menghilangkan diri selepas beberapa hari bayaran dibuat pada Jun lalu.

Malah selepas kejadian tesebut Fizz juga mendapat tahu ramai yang turut menjadi mangsa dan terdapat beberapa laporan sama dibuat terhadap individu terbabit.

Iklan

“Apa yang berlaku ada hikmahnya, apa pun saya tetap positif. Sebab kita ada undang-undang, saya nak keadilan.

“Lepas buat report, rupa-rupanya ramai lagi kena scam dengan dia ni. Pengajaran lepas ni, jangan percaya orang dah. Luar nampak baik, tapi hati busuk,” katanya.