ENGGAN mengulas kontroversi melibatkan dirinya dengan Aliff Aziz sebelum ini, pelakon Sophia AlBarakbah hanya mahu memberi fokus kepada penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah yang masih berbaki dua minggu.

Tegas Sophia, apa yang berlaku itu tidak mengganggu tumpuannya ketika bekerja kerana semua pihak bersikap profesional dan memberi perhatian sepenuhnya kepada penggambaran yang kini sedang berjalan lancar.

“Penggambaran masih berbaki lebih kurang dua minggu lagi dan semua orang bekerja secara profesional dan hanya memberi fokus pada kerja.

“Dari hari pertama penggambaran sehingga sekarang, kami semua bekerja kuat untuk drama ini dan tidak bercakap mengenai perkara lain,” ujarnya.

Bintang berusi 30 tahun itu ditemui pada majlis sidang media Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 di IOI City Mall, Putrajaya pada Ahad, yang turut dihadiri Bella Astillah.

Sambutan hangat

Mengulas tentang sambutan hangat yang diberikan penonton terhadap drama arahan Osman Ali itu, Sophia mengakui terkejut dan meluahkan rasa syukur dengan perkembangan tersebut.

“Mulanya tak jangka apa orang akan fikir tentang drama ini, tapi alhamdulillah rupa-rupanya ramai yang suka.

“Saya sangat gembira dengan maklum balas yang diberikan penonton. Semua orang sudah bekerja keras untuk drama ini sampai tidur pun hanya sempat 4-5 jam sahaja hingga sekarang.

Iklan

“Apa-apapun saya bangga dan berpuas hati melihat hasilnya, malah berharap agar penonton terus setia mengikuti drama ini sehingga ke penghujung,” katanya.

Sophia (paling kiri) dan Bella Astillah (tengah) ketika majlis sidang media Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 di IOI City Mall, Putrajaya.

Terdahulu nama Sophia menjadi sensasi apabila didakwa terlibat cinta lokasi dengan Aliff yang juga merupakan heronya untuk drama tersebut.

Isu tersebut semakin hangat diperkatakan apabila isteri Aliff, Bella Astillah tampil membuat pendedahan dengan berkongsi perbualan dengan Sophia yang mengakui menyukai Aliff sebelum membuat permohonan maaf.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.