Gandingan vokal romantis Muna Shahirah, Zack Zakwan

A
A
A

MESKI perlu bersaing dengan ramai pendatang baharu dalam dunia nyanyian yang sama-sama mencari peluang menempatkan diri dalam industri, penyanyi Muna Shahirah yakin dengan bakat dimilikinya.

Setelah single pertama, Takdir Cinta memperkenalkan namanya dalam industri, diikuti Teguh Setia dan Suratan Cinta yang memberi peluang dirinya membuktikan bakat, penyanyi yang bernaung di bawah label FMC Music itu kembali dengan buah tangan terbaharu.

Kali ini, Muna, 26, tampil dengan lagu berjudul Bagaimana, yang juga merupakan single duet bersama pendatang baharu, Zack Zakwan.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Gouffran dan Sang Hitam itu dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube FMC Music pada 23 Oktober lalu.

Mengulas tentang karya tersebut, kata Muna, lagu Bagaimana benar-benar mengembalikan semangatnya untuk berdiri semula dan fokus kepada kerjaya seni.

“Pertama kali dengar melodi dan baca lirik lagu ini, bulu roma saya meremang, seolah-olah ada roh di dalamnya yang memberi saya seribu kekuatan dan keyakinan.

“Lagu Bagaimana merupakan karya istimewa, di mana melodi serta feel lagu ini sangat romantis.

“Kelainannya juga apabila single balada ini saya nyanyikan secara duet bersama Zack Zakwan yang mempunyai karakter vokal mantap,” katanya.

Zack Zakwan atau nama sebenarnya Muhamad Shahrul Mohd Zakuan, 25, sebelum ini pernah muncul dengan single pertama beliau berjudul Kenangan, ciptaan Haqiem Rusli dan Sir Khan.

Gandingan kedua penyanyi yang mempunyai vokal serasi itu berjaya memberikan warna tersendiri kepada lagu tersebut, selain melodinya yang indah.

Muna Shahirah dan Zack Zakwan berharap single duet pertama mereka itu diterima peminat serta penggemar lagu lagu romantis.

“Peminat boleh menonton muzik video rasmi lagu Bagaimana ini di saluran YouTube FMC Music.

“Semoga anda semua suka mendengar dan menonton muzik video buah tangan daripada kami berdua,” ujar Zack.

Sementara itu, Muna mengakui kegagalan single terdahulu, Teguh Setia untuk melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lalu sedikit mengecewakan dirinya.

Ini kerana pemegang Ijazah Sains dan Matematik dari Universiti Sains Malaysia itu mengharapkan pertandingan tersebut menjadi platform terbaik untuknya menonjolkan bakat nyanyian kepada umum.

“Saya sudah memberikan yang terbaik ketika membuat persembahan di peringkat Separuh Akhir, tapi rezeki tidak menyebelahi.

“Saya mengimpikan untuk membuat persembahan di pentas besar seperti AJL kerana mahu meletakkan nama saya ke peringkat lebih baik.

“Bagi saya peluang tidak selalunya datang kali kedua, terutama pada pendatang baharu seperti saya, memandangkan kini begitu ramai penyanyi baharu hadir setiap hari.

“Disebabkan itu, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan atau lagu lagu nyanyian saya,” katanya.

 

(FOTO: FMC Music)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca