PELAKON Shaheizy Sam tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini berikutan tindakannya yang menggantung rokok elektronik (vape) di lehernya ketika menjadi penyampai Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33) yang berlangsung malam tadi.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman Instagramnya, Sam, 38, mengakui kecuaiannya sehingga berlakunya kejadian tersebut.

“Saya minta ampun dan maaf sangat-sangat terutamanya kepada ABP33 dan TV3 atas kecualian dan kelalaian diri saya. Tiada orang lain yang salah, memang diri saya yang salah.

“Terus terang, saya dalam keadaan yang gementar malam tadi di belakang pentas yang lengang dan tiada orang.

“Fokus saya untuk buat yang terbaik untuk acara itu sampai terlupa apa yang ada pada diri saya  hingga bawa ke atas pentas,” katanya.

Pelakon Polis Evo itu juga juga menegaskan dia tidak mempunyai niat untuk mempromosikan penggunaan vape secara langsung di kaca televisyen (TV). Sebaliknya vape tersebut adalah untuk kegunaan dirinya sendiri sejak setahun lalu.

“Tiada niat nak mempromosikan, semua yang berlaku atas kecuaian dan kelalaian diri saya sendiri. Sam mintak maaf sangat-sangat.

“Apa yang tergantung pada saya ini adalah keperluan saya sendiri. Saya dah gantung banyak kat leher sejak lebih setahun. Ini memang kegunaan saya sendiri.

“Dua tiga jam habis bateri, saya ada satu lagi dan saya memang perlu banyak vape.

Iklan

“Saya mintak maaf sekali lagi atas kecuaian diri yang mengundang perkara yang tak elok pada orang lain terutamanya APB33 dan TV3. Saya minta ampun maaf, insya-ALLAH perkara ini takkan berulang lagi.

Terdahulu pada acara kemuncak ABP33 malam tadi, kemunculan Sam di kaca TV dengan menggantungkan vape di lehernya mengundang kecaman ramai termasuk teguran daripada pengendali akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM).

“Sedih sangat melihat budaya buruk dipromosikan sebegini. Bukan tiaada ahli produksi yang boleh menyaring penampilan selebriti sebelum live di kaca TV.

Iklan

“Usah sembang mengenai pematuhan SOP, jika promosi vape sebegini pun boleh lepas dalam tayangan siaran langsung di TV,” ujarnya.

 

(FOTO: Instagram Shaheizy Sam