TIDAK hanya membina pengaruh menerusi karya-karyanya yang diterima ramai, penyanyi Ernie Zakri terus mencipta sensasi selepas wajahnya dipilih menghiasi papan iklan digital tersohor di New York Times Square.

Meluahkan rasa syukur dengan perkembangan terbaharu itu, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri menganggap ia sebagai pencapaian manis dalam kerjaya seninya.

“Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi solo.

”Saya tak pernah terbayang yang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam masa sama, penyanyi Gundah itu turut menyifatkan 2023 sebagai tahun yang banyak memberikan kenangan manis buatnya secara peribadi, selain pelbagai perancangan yang sedang disusun rapi.

Terkenal dengan kemantapan vokal yang hebat, Ernie gembira melihat segala penat lelahnya kini membuahkan hasil. Kejayaan terbaharu ini adalah salah satu daripadanya.

“Saya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan juga mungkin sebuah album pada hujung tahun ini.

”Banyak yang sudah saya rancangkan jadi tolong doakan semuanya dimudahkan,” tambahnya lagi.

Ernie teruja wajahnya dipilih menghiasi papan iklan digital tersohor di New York Times Square.

Penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh platform penstriman muzik digital, Spotify.

Sebelum ini beberapa artis seperti Yuna, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dolla dan beberapa nama lain turut mendapat penghormatan sama

Versi Terbaik

Equal merupakan program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Sejajar dengan tema tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata itu sempat mengulas mengenai topik berkenaan.

Iklan

“Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu saya membawa pesan pemerkasaan wanita dan inilah yang ingin saya laungkan.

“Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari. Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya, tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya.

“Akhirnya, penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta,” jelasnya teruja.

Iklan

Terdapat 35 senarai playlist tempatan EQUAL yang merangkumi artis dari lebih 50 buah negara, dan Ernie merupakan wakil daripada senarai playlist EQUAL Malaysia & Singapura.

Selain itu, terdapat juga Senarai playlist EQUAL Global Tterbaik yang mengandungi muzik dari artis EQUAL dari seluruh dunia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi