Gundah Ernie Zakri - dalam debar mengharungi AJL35, hitung hari bergelar isteri
DUA kali debaran. Mungkin itu yang dirasai oleh penyanyi, Ernie Zakri pada masa kini.
Bukan hanya berdebar untuk membuat persembahan sehabis baik pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang berlangsung jam 9 malam ini, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, juga sedang menghitung masa menjelang hari bahagianya.
Berkongsi debarannya untuk AJL35, Ernie berkata, persiapan untuk menyampaikan lagu Gundah sudah pun hampir selesai sepenuhnya.
Bagaimanapun Ernie yang dihubungi SinarPlus Rabu lalu, mengakui agak bimbang dengan kondisi suaranya yang tidak berapa baik.
“Suara saya tidak berada dalam keadaan yang memuaskan, jadi saya fokus berehat sejak Rabu lalu dan berharap segalanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Tambah Ernie, sama seperti tahun sebelumnya, dia berharap dapat membuat yang terbaik dan persembahannya akan diingati peminat setia.
“Saya tak letak harapan untuk menang apa-apa anugerah, tetapi tak nak menipu. Maksudnya bila bertanding, buat persiapan, pakai baju lawa-lawa, takkan sebab nak hiburkan peminat sahaja.
“Saya nak juga pulang dengan berita gembira, tetapi bagi saya itu semua rezeki. Saya tak mahu terlalu memikirkan sangat, bimbang mendatangkan tekanan kepada saya.
“Fokus utama saya adalah memberi persembahan terbaik supaya orang memahami apa maksud lagu Gundah itu,” katanya melihat semua yang bertanding mampu memberi saingan dan secara peribadi meminati lagu Semalam nyanyian Aina Abdul.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai persiapan perkahwinannya yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada bulan Mac, Ernie berkata, dia sebelum ini sememangnya merancang untuk berkahwin selepas selesai AJL35.
Bagaimanapun buat masa ini, dia belum bersedia berkongsi tarikh sebenar majlisnya itu dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.
“Insya-ALLAH saya akan maklumkan bila semuanya sudah pasti, SOP (prosedur operasi standard) majlis pun baru tahu.
“Jadi kami mahu pastikan apa dirancangkan tidak membawa keburukan. Apa yang penting bagi kami adalah keselamatan keluarga.
“Alhamdulillah persiapan berjalan dengan lancar buat masa ini dengan bantuan perancang perkahwinan. Walaupun ada kekangan dari sudut masa disebabkan PKP, latihan saya untuk AJL, tapi kami cuba selit-selit untuk persiapan perkahwinan,” jelasnya.
Ditanya perasaannya setakat ini, Ernie berkata, dia belum merasai debaran sebenar untuk bergelar isteri.
“Setakat ini debarannya masih terarah kepada AJL35. Untuk berkahwin saya tak fikirkan sangat. Mungkin apabila tiba harinya, saya akan rasa debaran itu.
“Insya-ALLAH sebaik selesai AJL35, saya dan Syamel akan masuk ke studio terlebih dahulu untuk merakamkan lagu duet kami bersama,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang