KONSERT minggu pertama Gegar Vaganza 7 (GV7) menyaksikan Noraniza Idris, Mus May dan Yantzen mencuri perhatian ramai dengan persembahan yang masih bertenaga dan berbisa.

Malah Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani dan Mus menduduki tangga pertama dan kedua konsert, manakala Yantzen di tangga kelima.

yantzen, kak ani, mus
Otai masih berbisa… Ternyata persembahan tiga bintang ini masih berbisa dan mendapat perhatian ramai. (Foto : Astro)

Kumpulan Indigo, Aju Success dan Rozita Izlyn pula berada di tiga kedudukan terendah. Bagaimanapun tiga bintang itu mampu menarik nafas lega apabila berjaya mara bersama 11 bintang lain ke minggu kedua.

Persembahan kesemua 14 bintang, dinilai 100 peratus oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim, manakala juara-juara Gegar Vaganza musim terdahulu seperti Ayai, Siti Nordiana, Azharina, Aishah, Noryn Aziz, Naqiu dan Hardy Mirza tampil menjadi juri jemputan secara bergilir-gilir.

LINDA NANUWIL
Kemunculan semula Linda Nanuwil antara yang paling hangat diperkatakan di media sosial sehingga melayakkannya memenangi Bintang Cuckoo Healthy Home. (Foto : Astro)

Dalam pada itu, Linda Nanuwil terpilih sebagai Bintang Cuckoo Healthy Home pertama GV7 yang membawa pulang Periuk Serbaguna Bertekanan Tinggi R06 yang bernilai RM1450. Bintang Cuckoo Healthy Home dipilih berdasarkan nama bintang  GV7 yang menerima kicauan paling banyak di laman sosial Twitter, sepanjang  siaran langsung.

Markah konsert minggu pertama :

Iklan
  1. Noraniza Idris – 90.90 %
  2. Mus – 84.00%
  3. Cliff Umar – 81.00%
  4. Eva – 78.40%
  5. Yantzen 75.50%
  6. Ayu Damit – 73.50%
  7. Haslinda – 72.60%
  8. Linda Nanuwil – 68.70%
  9. Ashira – 68.20%
  10. Nomad – 65.30%
  11. Oja – 61.50%
  12. Indigo – 60.00%
  13. Aju Success – 57.90%
  14. Rozita Izlyn – 55.40%

GV 7 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Sementara itu, buat pertama kali selepas enam musim bersiaran, Nabil terpaksa mengambil cuti ekoran kurang sihat. Tempat Nabil digantikan oleh pengacara versatil, Datuk AC Mizal.

Iklan
RECAP GV7
Nabil tidak dapat hadir kerana kurang sihat dan tempatnya digantikan oleh Datuk AC Mizal. Sementara itu, Datuk Ramli MS masih kekal menjadi juri bersama Datuk Khatijah Ibrahim yang kembali ke kerusi juri tetap. (Foto : Astro)

Menurut pengacara tetap, Jihan Muse, AC Mizal menerima tawaran sebagai pengacara jemputan itu kira-kira sejam sebelum konsert bermula.

Nabil menerusi temubual bersama Astro Gempak menafikan ketidakhadirannya ada kena mengena dengan Covid-19, sebaliknya hanya tidak sihat.