IMPIAN penyanyi Ani Mayuni dan Shidee untuk melangkah ke konsert akhir pada minggu hadapan tidak kesampaian.

Dua bintang itu diumumkan tersingkir dari pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) minggu separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Ani yang tampil menyampaikan lagu medley Sumpah nyanyian asal Aina Abdul bersama Let’s Get Loud (Jennifer Lopez) berada dikedudukan dua terbawah dengan markah 61 peratus (%), manakala Shidee yang tampil dengan lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Kerana Dia (Yassin Sulaiman) berada dikedudukan terbawah dengan 58.30%.

“Ramai sedih ke? Jangan sedih, GV8 ini adalah permulaan karier selepas sekian lama duduk di rumah akibat kawalan pergerakan.

“Harap selepas ini masih boleh berkumpul dan buat persembahan seperti ini. Kalau sedih kena terima hakikat ini adalah pertandingan.

“Bila cakap pasal penyingkiran, setiap minggu saya dah bersedia untuk tersingkir. Bukan tak yakin dengan diri sendiri, tetapi kita perlu sentiasa bersedia apa sahaja kemungkinan,” katanya yang ditemui sebaik berakhir konsert GV8.

Kalah bermaruah… Ani tampil dengan persembahan bertenaga termasuk tiga kali bertukar busana di atas pentas.

Tambah Ani, dia akan meneruskan perancangan untuk tampil dengan single baharu tidak lama lagi.

“Saya memang sudah lama merancang untuk tampil dengan single baharu dan ini adalah masa yang sesuai.

“Ramai orang rindu dangdut sebenarnya. Tetapi ada juga yang minta saya nyanyi lagu genre lain. Apa pun kita akan tengok macam mana nanti,” ujarnya.

Sependapat dengan Ani, Shidee berkata, dia reda apabila namanya diumumkan tersingkir pada

“Saya sebenarnya tak semestinya pergi ke final dan ada juga simpan hasrat ke final. Tetapi bila buat persembahan dan ada buat kesilapan, saya akui rasa sukar ke final.

“Lirik juga yang banyak memberi masalah kepada saya sebab saya banyak catch up,” jelasnya.

Shidee berkata, dia juga sudah mula menerima tawaran menyanyi, termasuk secara tetap di sebuah restoran di Putrajaya.

“Saya sebenarnya memang ada show sebulan tiga kali di Empangan Udang Galah, satu lagi di kawasan ini dan di Shah Alam.

Iklan

“Selain itu, saya juga ada merancang untuk keluar dengan lagu baru dan rasa ini adalah masa yang sesuai,” ujarnya.

Sementara itu, Aweera tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Kerja Gila dan Fantasia Bulan Madu (Search) yang memikat hati juri sekali gus mencuri perhatian ramai sehingga melayakkannya berada di tempat pertama dengan markah 81.30%.

Persembahan Aweera telah menambat hati juri dan penonton.

Kemenangan itu melayakkan Aweera menerima Anugerah Bintang Paling Power Meow, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Sementara itu Aliff Aziz pula menjadi pemenang Anugerah Betul Betul Luar Biasa Digi dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala Suki memenangi Anugerah Cuckoo.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Datuk Rosyam Nor selalu juri jemputan.

Iklan

Selain Aweera, peserta lain yang turut melangkah ke pentas akhir pada minggu hadapan ialah Nikki, Aliff Aziz, Azan Scan, Adibah Noor dan Suki Low.

Tindakan bersahaja juri tetap, Hetty Koes Endang menjemput Amy Search ke pentas ketika memberi komen persembahan Aweera membuat studio gamat dengan sorakan.

GV8 dihoskan pasangan hos, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 21 November lalu.

Walaupun baru dua hari keluar dari hospital, namun Nikki masih mampu memberi persembahan bertenaga.

Kedudukan peserta dan markah penuh konsert minggu separuh akhir :

  1. Aweera             81.30 %
  2. Nikki Palikat   76.00 %
  3. Aliff Aziz          72.00 %
  4. Azan Scan       69.70 %
  5. Adibah Noor  65.20 %
  6. Suki Low         64.80 %

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)