Hadiah buat peminat, Farisha Iris tampilkan Hello

A
A
A

TIDAK mahu menoleh ke belakang, penyanyi Farisha Iris terus mengatur langkah dalam mengembangkan bakat nyanyiannya kepada umum.

Menjadikan program Big Stage musim ketiga yang disertainya pada tahun lalu sebagai platform terbaik untuk kembali membina pengaruh, pemilik nama penuh Farisha Asmadi, 22, tampil dengan buah tangan terbaharu.

Memenuhi permintaan peminat, Farisha kini muncul dengan single berjudul Hello yang diterbitkan secara usahasama oleh syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.

Lagu berentak pop itu merupakan ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan Shazee Ishak, manakala lirik ditulis oleh Arisz Ab Rahman.

“Alhamdulillah, ini adalah single keempat saya dan sekali lagi saya tampil dengan lagu berentak pop.

“Walaupun meminati lagu balada, genre pop sering dikaitkan dengan saya kerana mungkin komposer dan penerbit berasakan vokal saya lebih sesuai dengan genre itu,” katanya.

Menurut Farisha lagi, lagu Hello bakal menjadi lagu tema bagi drama rantaian berjudul Hello, Jangan Tapau Cintaku yang akan disiarkan di slot Lestary, TV3 tidak lama lagi.

“Saya anggap ia sebagai satu permulaan baik untuk single ini lebih dikenali peminat dan ia merupakan satu bentuk promosi buat lagu saya kepada penonton drama tempatan.

“Jika ada rezeki, mungkin lagu Hello juga boleh pergi jauh dan stesen radio berterusan memainkan lagu ini,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Farisha berkata, program Big Stage sedikit sebanyak memperkenalkan lagi dirinya dalam industri muzik tanah air.

“Pada awalnya orang tak tahu saya boleh menyanyi, ramai ingat saya hanya boleh mengacara kerana selama ini memang banyak terbabit dalam bidang pengacaraan.

“Selepas menyertai program itu, secara perlahan-lahan peminat mulai mengenali diri dan bakat saya.

Big Stage menjadi medan terbaik untuk saya membuktikan bakat sebenar dengan mencabar diri menyanyikan lagu dari pelbagai genre.

“Pengalaman dalam program itu juga menjadikan saya semakin yakin dan tahu ke mana hala tuju saya dalam muzik, selain lebih bersunguh mencapai cita-cita,” katanya berhasrat merakamkan lagu duet bersama rakan-rakannya dalam program sama.

Dalam pada itu, Farisha yang pernah mengacarakan beberapa program TV mengakui dia tidak terdesak dalam soal populariti.

“Saya tak terlalu mengejar ke arah itu atau terdesak nak popular. Kalau popular itu datang, saya anggap ia rezeki.

“Apa yang pasti, saya akan terus berusaha dan percaya dengan usaha gigih, kejayaan akan dapat dicapai.

“Apatah lagi saya juga ada komitmen lain iaitu meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM, Shah Alam.

“Jadi, dalam masa sama memang kena fokus belajar juga,” katanya.

Single Hello baru sahaja dilancarkan di semua pelantar muzik digital pada Jumaat. Manakala video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama.

 

(FOTO: Seventeen Eleven Music)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca