BUAT julung kalinya tiga bintang muda berbakat besar, Hael Husaini, Naim Daniel, dan Haqiem Rusli, bergabung suara dan berpadu emosi dalam karya indah berjudul Lara.

Bukan hanya menerusi nyanyian, tetapi karya yang ditulis dan digubah oleh Hael Husaini bersama rakan komposer MFMF itu juga turut mendapat sentuhan daripada Naim Daniel dan Haqiem Rusli.

Menurut Hael, idea menghasilkan lagu tersebut tercetus ketika berada di Jakarta, Indonesia, sewaktu mengendalikan rancangan Stariser bersama Chakra Khan.

“Pertama sekali saya ingin ungkapkan perasaan syukur dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua penyanyi muda berbakat besar tanah air, Naim Daniel dan Haqiem Rusli kerana kesudian mereka bekerjasama dalam Lara.

“Semuanya bermula dengan borak-borak kosong, kami sering ditemukan dalam program atau acara yang sama dan terdetik untuk mengajak mereka untuk berkolaborasi jika ada peluang.

“Sangat mudah bekerjasama dengan mereka berdua kerana mereka antara rakan industri yang agak rapat dengan saya dan kami juga mengenali satu sama lain secara peribadi. Jadi proses itu menjadi lebih mudah,” jelas Hael.

Berkongsi tentang proses penghasilan lagu tersebut, Hael berkata, ia mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan.

“Selepas rangka awal disiapkan, saya dan MFMF meminta Naim dan Haqiem untuk memberi sedikit gubahan dan idea mereka untuk menyiapkan lagu ini.

“Segala proses rakaman audio dan juga muzik video dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan dan boleh dikatakan ketika fasa itu tiada sebarang kesulitan atau halangan yang berlaku di mana semua kerja dilakukan mengikut SOP yang sepatutnya.

Lara sebagaimana maksudnya yang jelas iaitu berasa sedih, menceritakan tentang perasaan yang remuk akibat dikecewakan oleh seseorang.

“Namun pendengar bebas meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman mereka sendiri,” katanya yang mengharapkan lagu tersebut dapat diterima ramai.

Sementara itu, Naim Daniel menyifatkan penglibatannya dalam projek Lara itu sebagai sesuatu yang baharu buatnya.

“Saya seronok dapat berkolaboratif dengan Hael dan Haqiem kerana mudah berkerjasama dengan mereka.

Iklan

“Selain keluar dari zon selesa saya iaitu bersama team yang biasa saya bekerjasama, saya dapati kami mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam bidang muzik.

“Pelbagai idea yang dicurahkan dan banyak yang saya pelajari sepanjang proses rakaman berlangsung,” ujar Naim.

Haqiem Rusli juga berkongsi keterujaannya terlibat dalam dalam projek Lara yang dianggap sebagai pengalaman luar biasa buatnya.

“Saya sangat teruja dengan gandingan ini. Kalau dulu kita ada trio tiga suara, kini kami tampilkan sesuatu yang berlainan demi mewarnai industri muzik tempatan,” katanya.

Iklan

Lara boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 1 November lalu.

Manakala video lirik dan muzik pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.

 

(FOTO: Rocketfuel Entertainment)