PENYANYI dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun mahu terus menyebarkan mesej-mesej positif kepada masyarakat menerusi lagu dan kerja-kerja seninya.

Sumbangan inovatif Hafiz terhadap muzik nasyid sebelum ini juga telah membawanya dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia.

Jika sebelum ini, Hafiz, 37, pernah tampil dengan album Zikir Terapi, kini bekas anggota kumpulan nasyid In-Team itu kembali dengan buah tangan terbaharu dengan membawakan selawat Islam moden menerusi album studio keenamnya, Marhaba.

Mengulas tentang album tersebut, Hafiz berkata, sebahagian besar lagu-lagu yang terdapat dalam Marhaba dirakamkan di Istanbul, Turki dan di studio miliknya bersama barisan jurutera berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia.

“Semasa menghasilkan album, saya selalu mengingatkan diri saya seperti ini adalah album terakhir dari saya.

“Dengan berbuat demikian, saya memberikan cabaran kepada diri untuk menjadikan album ini sebaik mungkin.

“Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna, tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil dari titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini,” ujar Hafiz.

Album Marhaba mengandungi 13 trek termasuk Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi, Khairal Bariyyah dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, 12 muzik video pula akan menyusul selepas pelancaran album tersebut dan akan dikeluarkan setiap bulan mulai Januari.

Sebagai penerbit utama Marhaba, Hafiz mengakui meletakkan harapan tinggi untuk kejayaan album itu.

Iklan

“Sejak 2015, saya menghabiskan lebih dari lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.

“Perjalanan itu sungguh hebat, kerana saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia.

“Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik daripada saya,” kata Hafiz.

Iklan

Terdahulu pra-pesanan untuk album fizikal Marhaba boleh dibuat secara eksklusif melalui Shopee. 3000 set kotak yang mengandungi salinan album fizikal telah dijual untuk pra-pesanan sejak 12 Disember lalu.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)