PENERBIT dan pelakon, Datuk Hans Isaac membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Seri Eizlan Yusof selepas membuat dakwaan tidak tepat baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, bekas Pengerusi Finas itu mengakui melakukan kesilapan apabila mengaitkan Eizlan dengan Excellent Pictures Sdn Bhd yang menerima Dana Kandungan Digital 2020 (DKD) oleh Finas.

“Pada 16 November lalu, saya telah menghantar satu mesej di dalam kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan mengucapkan tahniah kepada tiga buah syarikat yang telah dipilih untuk menerima DKD daripada Finas.

“Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Datuk Seri Eizlan Yusof dan Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya. Pada hakikatnya, saya telah bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan beserta permohonan maaf kepada Datuk Seri Eizlan Yusof semalam sebaik sahaja saya sedar akan kesilapan tersebut.

“Tetapi sebelum sempat saya berbuat demikian, saya dimaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peguam kepada saya.

Iklan

“Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan yang tidak disengajakan.

“Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” jelasnya.

Iklan

Eizlan pada Rabu lalu memberitahu, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hans berhubung dakwaan tidak berasas yang dikongsi dalam mesej WhatsApp.

Tegas Eizlan, dakwaan tidak berasas itu telah mencemarkan reputasinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dalam syarikat produksi tersebut seperti yang didakwa oleh Hans.