PRIHATIN dengan keadaan semasa melibatkan pelbagai golongan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur, pelakon serta penerbit, Datuk Hans Isaac terus giat mengatur usaha untuk menyalurkan bantuan.

Biarpun berdepan pelbagai cabaran, Hans menerusi Kelab Kita Budak Ampang yang diwakilinya nekad turun padang dan memberi bantuan secara terus kepada mereka yang memerlukan menerusi petunjuk kibaran bendera putih.

“Hari ini, walaupun kita berdepan dengan cabaran dalam tempoh PKPD, saya meneruskan usaha membantu masyarakat bersama Kelab Kita Budak Ampang di sekitar Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa, Ampang.

“Dengan berpandukan maklumat daripada ketua komuniti dan wakil masyarakat yang dibentuk melalui ranting-ranting Keadilan, kami mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dengan kibaran bendera putih di sekitar Lembah Jaya di Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, Flat Jalan Mulia dan Taman Mulia Jaya Ampang.

“Manakala di Bukit Antarabangsa, kami menyalurkan sumbangan dengan sokongan serta bantuan Surau Pinggiran Ukay Perdana,” katanya.

Tambah Hans, biarpun tidak semua ahli kelab tersebut dapat turun bersama-sama menyertai aktiviti tersebut disebab prosedur operasi standard (SOP), namun seluruh pasukannya menjunjung misi yang sama.

Iklan

“Terima kasih kerana sudi menerima sumbangan kami dan kami berjanji walaupun keseluruhan pasukan Kelab Kita Budak Ampang tidak dapat terlibat kerana mematuhi SOP, saya akan bersama seorang wakil komuniti yang mewakili kelab untuk meneruskan program kebersamaan masyarakat ini.

Iklan

“Bantu masyarakat yang mengibarkan bendera putih. Mereka adalah kita dan kita adalah mereka,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Hans telah memulakan aktiviti tersebut lebih setahun lalu dan terus konsisten dalam menyalurkan bantuan demi kebajikan masyarakat setempat di sekitar kawasan Ampang.