MESKI sudah enam hari berlalu, pemergian penyanyi Allahyarham Sandra Dianne akibat kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu ternyata masih dirasai.

Apatah lagi, semalam iaitu 16 September merupakan hari ulang tahun kelahiran Allahyarham yang ke-26.

Menerusi tanda pagar #SandraDalamKenangan, deretan ucapan hari lahir serta kiriman doa dititipkan peminat dan orang ramai buat penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Hey Kau dan peserta Big Stage 2020 itu di laman media sosial.

Lebih sayu, ibu Allahyarham, Nur Syakinah Abdullah, 46, turut berkongsi perasaannya yang pertama kali tidak dapat meraikan hari istimewa itu bersama anak kesayangannya.

Menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, ibu Allahyarham memuat naik sebuah video istimewa ucapan hari lahir yang dititipkan khas buat Sandra daripada para peminatnya.

Nur Syakinah meluahkan rasa terharunya apabila orang ramai tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat arwah anaknya.

“Kakak, mama titipkan video yang di buat khas buat kakak daripada peminat dan penyokong kakak pada hari lahir kakak hari ini, 16 September 2020.

“Mereka benar-benar buat mama sebak dan terharu, sungguhpun kakak sudah tiada hari ini, kasih sayang mereka buat kakak semakin hari semakin subur.

“Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi. Betapa ramai yang menyayangi kakak, kerana selama hidup kakak, kakak sering merasakan diri kakak tidak dihargai dan disayangi.

“Mama sedih dan kesal kerana semuanya ini datang terlambat, namun mama tetap bersyukur, sekurang-kurangnya mama tahu anak mama disayangi ramai orang dan ramai juga yang mendoakan kakak,” luahnya sayu.

Anak yang taat dan sering mendahulukan perasaan ibu

Lebih memilukan, Nur Syakinah turut meluahkan rasa rindunya pada Allahyarham dan berkongsi sikap mulia arwah puteri kesayangan yang sering mendahulukan perasaannya sebagai ibu melebihi segala-galanya.

“Tiada kata-kata yang dapat mama gambarkan perasaan kehilangan mama pada hari ulang tahun kelahiran kakak. Sakitnya meratapi kehilangan, peritnya menahan sebak di dada teringatkan kakak, pedihnya kerinduan ini.

“Kakak anak mama yang taat, sering mendahulukan perasaan mama, takut jika kakak melukakan perasaan mama meskipun kakak tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Ramai kawan-kawan kakak yang inbox mama menceritakan apa perkara kebaikan yang telah kakak lakukan pada mereka dan ianya benar-benar buat mama terkedu.

“Sebegitu sekali kebaikan yang anak mama tebarkan dalam persahabatan. Dan kawan-kawan kakak semua cakap mereka takkan lupakan kebaikan kakak. Sungguh mama terharu,” katanya.

Iklan

Menurut Nur Syakinah lagi, terlalu banyak yang ingin diluahkan tentang Allahyarham anaknya itu, namun tidak mampu untuk menahan kesedihannya.

“Banyak lagi yang ingin mama coretkan tentang kakak, namun air mata mama sudah terlalu berat untuk ditahan-tahan.

“Damailah kakak dalam pelukan kasih sayang ALLAH. Mama di sini akan sering mendoakan kakak dan insya-ALLAH setiap impian kakak yang belum tercapai akan mama sempurnakan untuk kakak.

“Mama juga tak akan lupa buat pahala sebanyak mungkin untuk kakak. Happy Birthday in heaven kakak. Mama rindu kakak,” akhirinya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Astro turut menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Selamat buat Allahyarham Sandra pada malam ini yang akan berlangsung di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Iklan

Terdahulu pada Ahad, Astro telah mengadakan sebuah konsert tribute #SandraDalamKenangan bagi mengenang penglibatan Allahyaraham dalam kerjaya seni terutamanya ketika menyertai Big Stage 2020.

Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada 5 September ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.

Allahyarham yang dirawat di Hospital Putrajaya itu tidak sedarkan diri sejak hari pertama kejadian sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 11 September lalu.

 

(SUMBER & FOTO: Facebook Nur Syakinah)