SELEPAS tampil dengan single Solid bersama dua orang lagi rakan industri iaitu Areen dan Dan.El pada Jun lalu, rapper Benzooloo terus merancakkan dunia muzik tanah air dengan karya terbaharu berjudul Timbang Seni.

Bagi setiap penyanyi, sesuatu lagu yang dinyanyikan atau pun dicipta tentunya mempunyai keistimewaan dan penceritaan tersendiri.

Menurut Benzooloo, 29, kali ini lagu Timbang Seni ditulis olehnya sendiri bersama Sabbala.

Jelasnya, gambaran ketika mereka menulis lagu ini adalah ketika dalam keadaan bersantai dan seronok dalam menghasilkan karya yang terbaik untuk industri muzik.

“Setiap saat sepanjang penghasilan lagu ini adalah sangat istimewa bagi saya kerana saya sukakan rentaknya.

“Selain itu, lagu ini juga dihasilkan bersama Sabbala yang sudah lama tidak menulis lagu bersama saya. Sample lagu pula, mempunyai unsur-unsur yang ‘gelap’ namun ada kerancakan terutama pada rentaknya. Jadi, ia dapat menggambarkan perasaan kami dalam keadaan gembira pada ketika itu,” katanya.

Dalam pada itu, ramai yang mengenali anak kelahiran negeri di bawah bayu ini dengan penulisan lagu dengan lirik yang panjang.

Namun single kali ini agak mencabar bagi Benzooloo kerana liriknya pendek dan bukan kebiasaan dirinya.

Selain itu, antara fakta yang menarik untuk dikongsikan adalah tempoh penghasilan lagu.

Iklan

Walaupun Benzooloo dan Sabbala sudah lama tidak menulis lagu bersama, namun mereka berjaya menghasilkan lagu ini hanya dalam tempoh sebulan.

Sudah pasti Benzooloo mengharapkan single Timbang Seni ini akan mendapat sambutan dari pendengar.

Iklan

“Untuk tempoh penghasilan pula, kami mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lagu ini daripada permulaan hinggalah proses terakhir.

“Saya sebenarnya sedang bereksperimen dengan aliran dan bunyian baru untuk dibawakan ke halwa telinga pendengar. Justeru, saya berharap agar orang ramai boleh menikmati dan menerima baik taruhan terbaru saya ini,” katanya menutup bicara.

Timbang Seni boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.