PERTEMUAN di dunia mungkin sudah bernoktah tetapi budi baik, jasa dan pengorbanan mereka yang sudah pergi buat selama-lamanya tidak akan luput di dalam ingatan. Yang tinggal tetap akan terus mengenang kepergian insan hebat ini sampai ke akhir hayat.

Terhasilnya lagu Terakhir Buat Teman nyanyian Siti Sarah Raissuddin dan Hazama juga bukanlah sesuatu yang dirancang.

Melodi indah yang diciptakan oleh Allahyarham Lok U atau nama sebenarnya Faizal Uzir adalah untuk mengenang kedua orang sahabatnya yang pergi mengadap Ilahi terlebih dahulu.

Sempat memetik piano menghasilkan bait-bait indah bersama Sarah, lagu tersebut pada dasarnya diciptakan oleh Lok U bersama Aji sebagai tanda mengenang Allahyarham Kelly yang terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.

Namun tidak sempat lagu tersebut disiapkan, Aji pula menyusul mengikut Kelly bertemu Sang Pencipta. Mencari kekuatan, Lok U cuba sedaya upaya menyiapkan lagu tersebut yang dirancang akan dinyanyikan oleh Sarah, namun dia juga berpulang ke negeri abadi tanggal 22 Januari 2020.

Dari kiri : Allahyarham Kelly, Lok U dan Aji yang meninggal dunia berselang tempoh empat bulan.

Tiada siapa menyangka dan siapa menduga segalanya kesedihan bagaikan bersambung-sambung untuk seluruh pemain industri khususnya pemuzik. Sahabat yang sudah dianggap sebagai keluarga pergi satu persatu.

Justeru itu, Indigital Music memainkan peranan menyiapkan lagu ini  atas dasar ingin meneruskan niat Allahyarham.

Berbekalkan semangat persaudaraan, lagu ini akhirnya diteruskan proses pembikinan oleh Genervie dengan bantuan Emi gitarist yang juga protege kepada Allaryarham Aji.

Tidaknya hanya mereka berdua, beberapa pemuzik yang rapat dengan ketiga-tiga Allahyarham turut menyumbangkan idea dan khidmat bagi menyiapkan lagu ini.

Dengan alunan indah yang sudah terhasil, lirik Terakhir Buat Teman dikarang indah oleh Iman Imran yang juga mengenali ketiga-tiga mereka.

Bagai menyudahkan sebuah janji, lagu ini akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember lalu.

Terkesan

Bagi Siti Sarah dan Hazama, pastinya mereka merupakan antara insan yang paling terkesan dengan pemergian ketiga-tiga pemuzik handalan itu.

Menurut Sarah, dia mempunyai hubungan yang cukup baik dan merancang bekerjasama untuk lagu terbaharu Sarah.

Bagaimanapun hasrat itu tidak lagi kesampaian apabila Lok U pergi tanpa pesan.

Iklan

“Memang saya antara orang paling terkesan bila Allahyarham Lok U meninggal dunia. Kami pernah ‘jamming’ sama-sama untuk menyudahkan lagu yang dituju buat dua rakan-rakan yang lain.

“Tapi akhirnya dia pergi tanpa pesan. Saya bersyukur kerana ramai rakan Allahyarham mahu turun padang dan menyiapkan juga karya ini.

“Setidaknya saya mampu tersenyum apabila hasratnya untuk menghasilkan lagu disambung oleh yang lain,” ujar Sarah.

Bagi Hazama pula, ini merupakan satu penghormatan kepadanya apabila diberikan kepercayaan membawakan Terakhir Buat Teman bersama-sama Sarah meskipun dia tidak bersama dalam proses pra pembikinan.

Iklan

“Allahyarham Lok U pernah beri saya dengar melodi lagu yang katanya dibuat khusus untuk arwah Kelly dan Aji. Saya kata ini muzik yang baik dan saya mahu menyanyikan.

“Tak sangka pula karya tersebut tidak disiapkan sepenuhnya. Apa-apa pun saya bersyukur kerana pada akhirnya rezeki dapat berduet dengan Sarah melalui karya besar ini,” katanya.

Menariknya lagu ini turut mendapat sokongan geran melalui Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Video muzik Terakhir Buat Teman boleh ditonton melalui salurah YouTube Indigital Muzik dan lagu ini juga boleh didengar melalui semua platform digital.