YAKIN dengan doa dan restu yang diberikan oleh kedua ibu bapanya, pengacara dan penyampai radio, Haziq Hussni memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah restoran yang diberi nama Jom Kono!

Biarpun langkah yang diambil itu berdepan risiko tinggi disebabkan negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika mula beroperasi lebih dua bulan lalu, Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, 31, mampu menarik nafas lega dengan sambutan yang diperoleh setakat ini.

Haziq yang ditemui di majlis pelancaran Jom Kono! Pada Sabtu lalu berkata, restoran yang terletak di SS15, Subang Jaya itu, merupakan perniagaan yang diusahakan bersama dengan adiknya, Raziq Hussni.

“Saya dan adik saya sangat rapat sejak kecil dan kami selalu merancang untuk melakukan sesuatu bersama-sama.

“Kebetulan beberapa bulan lalu ada orang nak jual kedai di sini, jadi saya dan Raziq terus ambil peluang itu untuk buka restoran, sementelah dia juga merupakan seorang cef berpengalaman.

“Kami berdua beranikan diri keluarkan duit simpanan masing-masing untuk buat modal, selain bersedia hadapi cabaran mendatang,” ujarnya.

Keluarga menjadi tulang belakang Haziq di sebalik pembukaan Jom Kono!

Istimewanya kata Haziq, pembukaan restoran yang menelan kos sehingga RM500,000 itu didedikasikan kepada kedua ibu dan bapanya.

“Bapa saya akan pencen tidak lama lagi dan saya rasa inilah masa terbaik untuk kami dedikasikan sesuatu untuknya.

“Selepas ini dia tak perlu lagi penat bekerja, sebaliknya boleh jadi ‘boss’ dan jaga restoran ini bersama ibu.

Iklan

“Segala keuntungan memang kami nak bagi pada ibu dan ayah. Setiap hari saya akan hubungi mereka minta doa agar perniagaan kami ini sentiasa diberkati dan dipermudahkan,” akui bekas pengacara Muzik-Muzik itu lagi.

Biarpun sibuk dengan aktiviti seni selain tugasan tetapnya sebagai penyampai radio Hot FM untuk slot Jam Hot, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 4 petang, kata Haziq, dia tetap akan meluangkan masa untuk berada di restoran biarpun sekejap.

“Setakat ini saya memang datang restoran setiap hari, biarpun kadang-kadang hanya sempat satu jam sahaja.

Iklan

“Kalau kebetulan saya ada, insya-ALLAH saya juga akan layan sendiri pelanggan yang datang, termasuk para peminat.

“Ketika awal beroperasi, memang sambutannya agak perlahan kerana masih dalam PKP dan ramai yang belum tahu tentang kewujudan Jom Kono!

“Jadi kami adakan majlis pelancaran untuk bagi tahu semua orang, biarpun ia telah pun beroperasi lebih dua bulan lalu,” katanya yang bakal tampil dengan program Sembang Sahur dan Havoc Nak Raya tidak lama lagi.