SETELAH melalui pelbagai kisah suka duka dalam hidup, bekas vokalis Putra Band, Haziq, tekad membuka lembaran baharu, sekali gus kembali merencana kerjaya seninya yang terhenti sebelum ini.

Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Hasbullah, 20, sebelum ini pernah berdepan saat getir apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2019 sehingga hampir menyebabkan sebelah kakinya dipotong.

Insiden itu menyebabkan anak kepada penyanyi dangdut, Linda Eva, terpaksa berehat panjang dan melupakan seketika dunia nyanyian.

“Allah makbulkan doa saya dan mama dengan memberikan saya peluang kedua untuk kembali sihat seperti biasa dan menyelamatkan kaki saya daripada dipotong ketika itu.

“Dorongan dan semangat yang diberikan mama juga membuatkan saya kini mampu berdiri dan berjalan seperti biasa, malah mampu meneruskan kerjaya nyanyian,” ujar Haziq.

Bangkit daripada peristiwa sedih itu, Haziq mula mengatur langkah menerusi single solo pertamanya, Kembali Tersenyum, ciptaan sepenuhnya oleh Haqiem Rusli.

“Single Kembali Tersenyum sangat bermakna kerana ia tampil dengan genre muzik yang saya mahukan sebelum ini.

“Ketika bersama kumpulan dulu, saya tidak bebas memilih apa yang dimahukan kerana perlu sepakat dengan rakan-rakan yang lain.

“Jadi untuk single solo ini, saya dapat buat apa yang sesuai dengan minat saya,” katanya.

Mengulas lanjut tentang lagu tersebut, Haziq berkata, dia berterima kasih kepada Haqiem Rusli yang menghasilkan lagu tersebut berdasarkan kisahnya ketika terlantar sakit sebelum ini.

“Lagu dan lirik lagu ini sangat bermakna kerana saya memang minta Haqiem untuk buat tentang kisah saya.

“Ketika itu saya tidak berdaya untuk berdiri dan terpaksa singkirkan orang yang saya sayang kerana tidak mahu dia terbeban atau rasa malu dengan keadaan saya yang tidak boleh berjalan waktu itu.

Iklan

“Saya luahkan juga kisah tersebut dalam muzik video lagu ini untuk menyampaikan mesej kepada pendengar dan peminat saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Haziq turut meletakkan harapan tinggi terhadap lagu tersebut agar dapat diterima ramai.

“Saya amat berharap single solo ini dapat mengubat segala kesedihan yang dilalui sebelum ini.

“Bukan sahaja tentang kemalangan itu, tetapi juga tentang kisah insan yang saya sayang. Saya telah mengasari insan itu hanya kerana kecewa dengan keadaan diri sendiri ketika itu.

Iklan

“Semoga peminat terus setia bersama saya, menyokong lagu ini dan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Single Kembali Tersenyum telah dilancarkan di semua platform muzik digital bermula 11 Disember. Sementara muzik video yang turut dilancarkan serentak pada hari sama boleh ditonton di saluran YouTube FMC Music.

 

(FOTO: FMC Music)