Hidayah tak saman ibu mentua, peguam beri penjelasan
PEGUAM yang mewakili balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali dari Tetuan Ibrahim & Fuaadah, Mohamed Ibrahim Mohamad menjelaskan tiada sebarang saman dikemukakan anak guamnya kepada ibu mentua, Sabariah Arshad seperti didakwa pelawak Ali Puteh baru-baru ini.
Sebaliknya Ibrahim memaklumkan, Sabariah bersama suami dan anak-anak yang bertindak memfailkan saman terhadap Hidayah.
"Kes ini bermula apabila kami memfailkan satu saman bagi pihak Hidayah terhadap Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yang dikatakan mengeluarkan beberapa kenyataan yang menurut Hidayah berunsur fitnah terhadapnya.
"Kes ini difailkan sekitar Mei lalu dan baru-baru ini, Ali memfailkan satu lagi saman terhadap Hidayah. Tindakan saman yang dikeluarkan Ali turut bersama ibu, bapa dan kakak. Ini adalah tindakan yang berasingan yang dimulakan oleh kedua-dua belah pihak.
"Bagaimanapun, baru-baru ini ada usaha untuk menggabungkan dua tindakan itu. Kami ingin menjelaskan di sini bahawa kami tidak pada bila-bila masa menyaman ibu kepada Ali. Tindakan saman hanya terhadap Ali tanpa ahli keluarga lain.
"Insya-Allah perbicaraan tuntutan akan digabungkan dan didengar di mahkamah tidak lama lagi," katanya menerusi satu sidang media khas baru-baru ini.
Dalam sidang media itu, turut sama hadir adalah Hidayah dan peguam syariah, Fadhlina Datuk Siddiq.
Sementara itu, menerusi kes berkaitan di mahkamah syariah, peguam Hidayah dari Fadhlina Siddiq & Associates iaitu Fadhlina menjelaskan tuntutan yang dibuat tiada kaitan dengan isu saman-menyaman.
"Kes pertama berkaitan faraid, ia tiada kaitan dengan saman-menyaman kerana prosiding faraid untuk mengesahkan waris-waris kepada arwah saja dan kita sudah mengenal pasti waris terbabit.
"Tidak timbul isu saman kepada mana-mana pihak melainkan untuk mengesahkan saja siapakah waris yang berhak.
"Keduanya adalah berkaitan hak penjagaan anak yang mana prosiding itu dimulai dengan saman kerana memberi ruang keadilan kepada semua pihak untuk hadir ke mahkamah demi menjaga kebajikan cucu atau anak kepada arwah.
"Jadi tidak timbul isu saman menyaman yang saya rasa pihak-pihak tertentu dan orang awam kena faham dari segi prosiding mahkamah," katanya.
Fadhlina turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan komen yang tidak sahih kerana fakta kes hanya akan dibentangkan di dalam mahkamah sahaja.
"Jangan buat andaian liar atau membuat anggapan tidak betul. Biar mahkamah yang tentukan dalam menilai dan menjaga kepentingan serta keadilan semua pihak.
"Saya ingin tegaskan prosiding sudah bermula jadi semua pihak harus hormat proses mahkamah. Saya juga sudah nasihati Hidayah supaya tidak memberikan sebarang kenyataan," katanya.
Kemelut antara Ali dan Hidayah yang bermula sejak Februari lalu terus berlarutan sehingga kini apabila kedua-dua belah pihak saling memfailkan saman.
SUMBER : Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang