I Can See Your Voice Malaysia kembali untuk musim keenam

ICSYVMY6
ICSYVMY6
A
A
A

PROGRAM keluarga nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia kini kembali dengan musim keenam (ICSYVMY 6).

Rancangan televisyen bercorak muzik misteri yang diadaptasikan daripada sebuah program popular Korea Selatan berjudul sama akan bersiaran selama 11 episod dan membuka tirainya bersempena meraikan Sambutan Ulang Tahun TV3 ke-39 iaitu pada 4 Jun ini, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Penerbit ICSYVMY 6, Shahrizan Razalli berkata, seperti biasa program tersebut mempunyai empat pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang di tiga pusingan awal.

“Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

“Bukan itu sahaja, pemenang bagi setiap episod juga akan membawa pulang bekalan produk Cadbury selama setahun.

“Penyanyi sebenar akan mempunyai peluang untuk merakamkan sebuah single bersama artis popular tanah air,” jelas beliau.

Bagi memberi kelainan pada musim kali ini, tugasan mengacara disandang oleh pelakon dan penyanyi terkenal yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan iaitu Izzue Islam dan Shiha Zikir.

Ia merupakan kali pertama mereka berganding di atas pentas yang sama khas untuk menghiburkan peminat setia ICSYVMY.

Bukan itu sahaja, penonton akan diceriakan lagi dengan pelbagai gelagat yang pasti menghiburkan daripada panel penyiasat tetap yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal tanah air iaitu Jihan Muse, Khir Rahman, Baby Shima serta Ropie.

Panel penyiasat tetap akan dibantu oleh penyiasat undangan yang berlainan setiap episod bagi meriuhkan lagi suasana.

Mereka ialah Maryam Younarae, Cik B, Joey Daud, Sweet Qismina, Bell Ngasri, Mek Yun, Fizi Ali dan Roy Azman.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca