SELEPAS memaklumkan dirinya positif dijangkiti Covid-19, hari ini dikhabarkan bahawa ibu, bapa dan adik bongsu Alif Satar turut sama positif virus itu.

Menurut pengurus Alif, Adlina Abu Bakar, ketiga-tiga anggota keluarga Alif itu sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan dan proses kuarantin.

“Dimaklumkan, ibu bapa Alif, Hafiza dan Satar Ramli serta adiknya, Jim membuat saringan ujian tersebut pada Sabtu.

“Saya bersimpati apabila mendapat tahu ibu bapa serta adik bongsu Alif yang telah disahkan positif sebentar tadi. Mereka kini dirawat di Hospital Sungai Buloh,” ujar Adlina seperti yang dilaporkan Astro Gempak.

Ditanya mengenai keputusan ujian saringannya, Adlina berkata, dirinya negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan tersebut pada Sabtu lalu.

“Alhamdulilah, saya bersyukur sangat apabila disahkan negatif Covid-19 oleh pihak hospital.

“Pun begitu, saya masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan membuat saringan kedua pada hari ke 12,” jelasnya.

Alif kini dirawat dan menjalani kuarantin di sebuah hospital di Melaka selepas disahkan positif Covid-19 pada Ahad.

Iklan

Menurut pengurusnya lagi, isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anak Alif iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1, juga bakal menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

“Alif kini menjalani rawatan seperti biasa di hospital dan tidak menunjukkan apa-apa symptom atau sakit.

Iklan

“Cuma Alif meminta semua mendoakan agar isteri dan anak-anaknya dilindungi dari jangkitan virus tersebut dan mereka berada dalam keaadan sihat,” katanya.

Sumber : Astro Gempak